
Pemerkasaan Wanita ASEAN Berpotensi Jana US$2.3 Trilion Menjelang 2025
KUALA LUMPUR 24 Mei 2025. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz menegaskan potensi besar ekonomi ASEAN yang mampu berkembang sehingga US$2.3 trilion sekiranya bakat wanita dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau menyatakan perkara ini semasa ucaptama di Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025, berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Sabtu, 24 Mei 2025.
Tengku Zafrul menyatakan bahawa wanita mewakili hampir 50% populasi ASEAN tetapi menghadapi cabaran ketara seperti penyertaan rendah dalam tenaga kerja, kurangnya perwakilan dalam pengurusan kanan, serta halangan mendapatkan kredit perniagaan yang lebih besar berbanding lelaki. Beliau memberi amaran bahawa isu global seperti ketegangan perdagangan dan perubahan iklim boleh memperburuk keadaan ini.
“Jurang ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak rasional dari segi ekonomi,” kata Tengku Zafrul. Beliau memetik kajian yang menyatakan bahawa mencapai kesaksamaan wanita boleh menambah US$12 trilion kepada KDNK global menjelang 2025. Khusus di Malaysia, penutupan jurang gender boleh meningkatkan KDNK sebanyak 8.2%, bersamaan US$50 bilion.
Melalui rangka kerja Ekonomi MADANI yang menitikberatkan inklusiviti, Malaysia komited dalam memperkasa wanita dengan pelbagai inisiatif konkrit. Antaranya Program Pembangunan Pengeksport Wanita, peruntukan perdagangan responsif gender, dana RM200 juta untuk usahawan wanita dalam sektor berpotensi tinggi, serta Inisiatif Wanita dalam Industri dan Perdagangan (WITI). Menariknya, wanita membentuk 69% daripada pengurusan tertinggi di MITI.
Selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia “Inklusiviti dan Kelestarian”, Tengku Zafrul menekankan
bahawa ASEAN perlu memastikan peluang ekonomi boleh diakses oleh semua, termasuk wanita. Beliau turut menyatakan sasaran Malaysia menjelang 2030, termasuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 63%, memastikan 30% perwakilan wanita dalam lembaga korporat, menggandakan perniagaan diketuai wanita dalam pasaran eksport, serta menubuhkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN pertama di Kuala Lumpur.
Menteri turut mencadangkan pembentukan dana khas ASEAN sebanyak US$1 bilion bagi membantu usahawan wanita mendapatkan akses kewangan, selain penekanan terhadap peningkatan kemahiran digital wanita dan strategi pembangunan kepimpinan wanita.
Dalam ucapan penutupnya, Tengku Zafrul menyatakan harapan untuk melihat ASEAN yang lebih inklusif, di mana setiap wanita dan gadis mendapat peluang sama rata dalam pembangunan ekonomi. Beliau menyeru semua pemimpin untuk saling memberi inspirasi, berkongsi pengalaman, dan menjadi mentor demi mencapai potensi penuh ASEAN.
“Kita tidak akan berjaya sepenuhnya jika separuh daripada kita masih dihalang,” tegas Tengku Zafrul, memetik kata-kata aktivis Malala Yousafzai.
Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 secara rasminya dibuka oleh beliau dengan harapan ia menjadi titik perubahan penting dalam usaha pemerkasaan wanita di rantau ini.
#Prezcom