
IPOH, 20 Mei 2025. Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, menegur keras budaya “tikam belakang” dalam kalangan ahli parti menjelang pemilihan kepimpinan PKR 2025. Beliau menyatakan kekecewaannya terhadap individu yang berpura-pura mencari perdamaian setelah mencetuskan ketegangan dan serangan dalaman.
Dalam ucapannya di program Jelajah Hiruk Zon Perak yang diadakan di Dewan Komuniti Taman Cempaka semalam, Rafizi berkata, “Nak berdamai? Apa makna damai kalau awak yang mulakan kekecohan? Awak tikam saya, sekarang nak berdamai? Tak boleh macam tu, saudara-saudari.”
Rafizi menekankan bahawa pemilihan dalaman PKR sentiasa bersifat demokratik dan terbuka sejak penubuhannya pada tahun 2001. Namun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap usaha sistematik untuk menyisihkan pemimpin tertentu di peringkat cabang melalui senarai ‘hitam dan putih’.
“Jika etika pemilihan dihormati, tiada siapa yang akan terluka. Tetapi apabila ada senarai siapa yang patut digugurkan, itu bertentangan dengan semangat parti,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa pendiriannya yang lantang akan memecahbelahkan parti, sebaliknya menegaskan bahawa berkata benar adalah sebahagian daripada perjuangan asas PKR. “Kita diajar untuk berkata benar, berani kerana benar dan bersuara untuk yang lemah jika mereka berada di pihak yang benar,” tambahnya.
Rafizi menegaskan bahawa perjuangan dalam parti tidak seharusnya didorong oleh ketakutan atau keinginan untuk jawatan. “Kalau takut ambil risiko, jangan cakap pasal perjuangan. Kalau selepas bentuk kerajaan, semua tiba-tiba jadi penakut, itu bukan PKR yang kita kenal,” katanya.
Beliau menggambarkan tindakannya membangkitkan isu dalaman sebagai satu bentuk keberanian politik yang mungkin tidak popular tetapi perlu untuk memelihara prinsip parti. “Ini sebenarnya langkah ‘do-or-die’ dalam politik. Ada yang tanya saya, ‘Awak gila?’ Tapi saya kata ini tentang maruah dan adab parti,” jelasnya.
Rafizi turut menasihati ahli parti untuk kembali kepada nilai-nilai teras PKR iaitu memperjuangkan kebenaran, menolak ketakutan dan menghormati perbezaan. “Parti ini bertahan walaupun ditekan dan dipenjarakan kerana kita ada semangat itu. Semangat perjuangan yang tidak goyah,” katanya.
Pemilihan kepimpinan PKR 2025 dijadualkan berlangsung dari 14 Mac hingga 23 Mei 2025, dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang tanpa bertanding. Namun, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan persaingan antara Rafizi dan Nurul Izzah Anwar. Keputusan pemilihan ini dijangka akan memberi impak besar terhadap hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 yang dijangka pada tahun 2027.
Rafizi juga mengesahkan bahawa beliau tidak akan merasmikan Kongres Wanita dan Pemuda PKR yang akan datang, satu tindakan yang mencerminkan ketidakpuasan hatinya terhadap proses pemilihan yang didakwanya berat sebelah. Beliau menyatakan bahawa keputusan ini dibuat setelah Sabah PKR tidak menjemputnya untuk pelancaran jentera pilihan raya di Kota Kinabalu pada 17 Mei lalu.
“Sesuatu yang penting seperti pelancaran jentera pilihan raya negeri Sabah sepatutnya dikendalikan oleh timbalan presiden, yang juga pengarah pilihan raya. Tapi tiba-tiba, poster menyatakan bahawa Nurul Izzah dan Amirudin akan melancarkan jentera pada hari yang sama,” katanya. Rafizi menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan sesiapa yang ingin memikul tanggungjawab dalam parti, tetapi amalan dan hierarki dalam parti harus dihormati. “Kita perlu mengekalkan adab dan disiplin dalam parti. Jika hanya kerana pemilihan parti ini, kita membuang amalan kita, silakan, saya tidak akan menghalangnya,” tambahnya.
Antara yang hadir di program Jelajah Hiruk Zon Perak termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; bekas Exco Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Halim Hussain; dan Exco Perak, Sandrea Ng.
Dengan perkembangan ini, PKR menghadapi cabaran untuk mengekalkan perpaduan dan semangat reformasi yang menjadi asas penubuhannya, terutama menjelang pemilihan parti yang penting ini.
#Prezcom