
JOHOR BAHRU 19 Mei 2025. Hasrat Phoon Kin Fai untuk mendapatkan kad kredit melalui aplikasi mudah alih berubah menjadi mimpi ngeri selepas data peribadinya disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dan ancaman jenayah.
Phoon, 41, seorang tukang masak, berkata dia membuat permohonan kad kredit melalui aplikasi mudah alih pada 8 Mei lalu. Sehari kemudian, beliau menerima mesej daripada individu yang menyamar sebagai wakil syarikat kad kredit terbabit, meminta maklumat peribadi termasuk nombor akaun bank.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana individu itu kelihatan sah dan menggunakan logo rasmi syarikat sebagai gambar profilnya. Saya memberikan maklumat tersebut tanpa berfikir panjang,” jelas Phoon dalam sidang media anjuran Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Pemuda MCA Johor, Henry Mok, di Southern Johor Chinese Media Clubhouse, pada Ahad, 18 Mei.
Tidak lama selepas itu, RM600 dimasukkan ke akaun bank Phoon, kononnya sebagai pinjaman yang tidak pernah dipohonnya. “Mereka kemudian mendesak saya membayar balik RM1,200 dalam masa lima hari termasuk faedah dan caj perkhidmatan. Saya sangat terkejut kerana saya tidak pernah meminta pinjaman ini,” tambah beliau.
Mangsa kemudiannya membuat pembayaran sebanyak RM600 tetapi enggan membayar baki tambahan. Berikutan keengganan tersebut, Phoon menerima ugutan keras termasuk ancaman membakar rumah serta mencederakan ahli keluarganya. “Mereka turut menghantar video rumah lain yang didakwa telah diserang sebagai amaran kepada saya,” ujarnya sambil menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan isteri serta dua anaknya yang masih kecil.
Dari sudut subjektif, Phoon mengalami tekanan emosi serta kebimbangan melampau terhadap keselamatan diri dan keluarga. Beliau terpaksa menanggung beban psikologi yang berat akibat tindakan licik penjenayah yang memanipulasi kepercayaan awam.
Secara objektifnya, situasi ini menggambarkan betapa mudahnya data peribadi seseorang disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab. Ia juga memperlihatkan kelemahan sistem perlindungan data peribadi dalam aplikasi digital yang semakin meluas digunakan masyarakat.
Interaksi antara pihak berkuasa, mangsa dan pihak swasta seperti syarikat kewangan dilihat sebagai elemen penting dalam menangani kes sebegini. Henry Mok menegaskan bahawa beliau akan menghantar surat rasmi kepada syarikat kad kredit tersebut untuk mendapatkan penjelasan serta mengadakan pertemuan dengan pihak polis bagi mengekang jenayah sedemikian.
“Saya menerima tidak kurang 10 kes penipuan seumpama ini setiap bulan, kadangkala dua hingga tiga kes dalam sehari. Kerajaan harus mempertimbangkan hukuman lebih berat untuk jenayah seperti ini,” gesa Mok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada Phoon dan kes sedang dalam siasatan.
Kes ini memberi pengajaran penting kepada masyarakat tentang peri pentingnya kewaspadaan dalam melindungi data peribadi, selain keperluan tindakan tegas pihak berkuasa bagi membendung jenayah siber yang semakin berleluasa.
#Prezcom