
PUTRAJAYA, 15 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 10,493 kandungan palsu dan 30,427 kandungan berbentuk penipuan dalam talian atau scam dari Januari sehingga 15 April tahun ini, sekali gus mencetuskan gesaan supaya masyarakat lebih bijak menilai maklumat di ruang digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata statistik ini jelas membuktikan bahawa masyarakat kini tidak lagi boleh menerima sebarang maklumat daripada internet tanpa semakan kritikal terlebih dahulu.
“Hari ini, kebanyakan kita mendapatkan maklumat secara terus daripada Internet, sejajar dengan perkembangan teknologi yang semakin maju. Namun, menerima dan membaca maklumat memerlukan masyarakat untuk lebih celik digital. Tidak semua maklumat yang diterima boleh dipercayai begitu sahaja,” katanya semasa berucap di Program Jom Baca Bersama peringkat Kementerian Komunikasi 2025, di Putrajaya.
Teo menegaskan, kerajaan melalui Kempen Internet Selamat sedang aktif meningkatkan kesedaran risiko penggunaan Internet kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti awam di seluruh negara. Setakat ini, kempen tersebut telah berjaya dilaksanakan di sembilan sekolah, dengan perancangan diperluaskan lagi sepanjang tahun ini.
Dalam konteks kepelbagaian budaya negara, beliau turut menekankan pentingnya budaya membaca sebagai asas membina empati, sikap saling menghormati, serta daya pemikiran kritikal dalam kalangan rakyat.
“Membaca bukan sekadar aktiviti masa lapang, tetapi alat yang penting untuk membina identiti nasional yang kukuh, memahami budaya serta kepercayaan antara kaum, sekaligus mengukuhkan perpaduan negara,” jelasnya lagi.
Beliau turut memuji usaha Perpustakaan Digital BERNAMA yang aktif dalam menggalakkan budaya membaca melalui pelbagai aktiviti termasuk pinjaman buku fizikal dan elektronik.
“Melalui membaca, masyarakat akan lebih kritis, rasional dan berpengetahuan, serta tidak mudah tertipu dengan kandungan negatif yang tersebar di ruang maya,” tambah beliau.
Gesaan ini memberi peringatan kepada semua pihak agar bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan ruang digital negara bebas daripada penyebaran maklumat palsu serta melindungi pengguna, khususnya generasi muda daripada risiko siber.
#Prezcom