TELUK INTAN, 14 Mei 2025. Sembilan daripada 18 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam nahas ngeri yang berlaku di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik (Chikus-Sungai Lampam), Teluk Intan, apabila trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dinaiki bertembung secara berhadapan dengan sebuah lori bermuatan batu pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata kemalangan pada jam 8.30 pagi itu terjadi ketika konvoi FRU Unit 5 Sungai Senam dalam perjalanan pulang selepas penugasan Op Chariot semperna perayaan Chitrapournami di Hilir Perak. “Trak FRU yang terlibat merupakan kenderaan kelima daripada tujuh kenderaan dalam konvoi tersebut dan membawa peralatan berat, sekali gus meningkatkan impak perlanggaran,” jelas beliau ketika ditemui di Hospital Teluk Intan.

9 Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Maut di Teluk Intan

Beliau turut mengesahkan bahawa pemandu lori berusia 45 tahun yang terlibat dalam nahas itu mempunyai enam rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan dadah, selain beberapa saman trafik yang belum dijelaskan. Walaupun demikian, hasil ujian air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah. “Kami masih menyiasat sama ada suspek pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini,” tambahnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, turut mengarahkan siasatan terperinci, adil dan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut. “Siasatan awal menunjukkan lori terbabit dipercayai mengalami masalah fungsi stereng sehingga hilang kawalan lalu merempuh trak FRU,” ujar Tan Sri Razarudin.

Nahas ini mengimbau tragedi duka lebih tiga dekad lalu, apabila 11 anggota FRU terbunuh dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di Kilometer 31 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada 28 Februari 1990, sekali gus menuntut perhatian serius terhadap keselamatan konvoi polis.

Datuk Noor Hisam turut memaklumkan bahawa sembilan anggota yang terkorban terdiri daripada tujuh beragama Islam, seorang anggota Orang Asli, dan seorang berbangsa India. Lapan mangsa berasal dari Perak manakala seorang lagi dari Kedah. Beliau berkata, lapan daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika menerima rawatan kecemasan di hospital. Mangsa yang cedera sedang dirawat, manakala proses bedah siasat dijangka selesai pada lewat petang ini. “Segala urusan penghantaran jenazah ke Ipoh telah disediakan dan kami akan memastikan segalanya berjalan lancil,” katanya lagi.

Tragedi ini merupakan peringatan penting bahawa keselamatan jalan raya dan pemeriksaan berkala terhadap kenderaan berat adalah tanggungjawab bersama semua pihak, termasuk pengguna jalan raya, pengusaha lori dan pihak berkuasa. “Kami berharap agar insiden tragik ini dapat memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai pentingnya aspek keselamatan jalan raya dan pematuhan kepada undang-undang,” ujar Datuk Noor Hisam.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata waris kepada mangsa yang terkorban akan menerima pampasan serta bantuan kewangan berjumlah antara RM58,000 hingga RM269,700 melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN). Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga semalam melalui Tabung Kebajikan menyumbang sebanyak RM1,200 kepada keluarga mangsa selain sumbangan RM11,000 dari inisiatif kebajikan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak.

Note: Buat seluruh keluarga mangsa kami warga Prezcom mengucapkan salam takziah kepada keluarga: Perumal A/L Sugunanathan, Mohd Roslan bin Abd Rahim, Mohd Pozli bin Jaudin, Nurit AK Pandak, Amiruddin bin Zahri, Mohamad Hilmi bin Mohd Azlan, Akmal bin Muhamad, Damarrulan bin Abdul Latif dan Akmal Wafi bin Annuar.

#Prezcom