
Kematian Anak Gajah di Lebuh Raya Timur-Barat semperna Hari Ibu
PERAK, 13 Mei 2025. Satu tragedi menyayat hati berlaku apabila seekor anak gajah mati dilanggar sebuah lori di Lebuh Raya Timur-Barat pada awal pagi Ahad 11 Mei 2025 yang mengundang simpati mendalam warga Malaysia. Video yang menunjukkan ibu gajah mencuba dengan gigih untuk membebaskan anaknya yang terperangkap di bawah lori telah menyentuh hati ribuan netizen, apatah lagi tragedi ini berlaku pada sambutan Hari Ibu.
Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi itu, lori yang membawa ayam sedang melalui Lebuh Raya Timur-Barat apabila tiba-tiba seekor anak gajah berusia kira-kira lima tahun melintas dari arah kiri. Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu lori tidak sempat berhenti, lalu terlanggar anak gajah tersebut yang mati di tempat kejadian.
Video kejadian yang tular menunjukkan ibu gajah berusia antara 25 hingga 27 tahun dengan berat kira-kira 2.2 tan, cuba menolak lori dengan kepala dan belalainya demi membebaskan anaknya yang sudah tidak bernyawa. Ibu gajah tersebut tidak meninggalkan anaknya selama beberapa jam, walaupun beberapa percubaan dilakukan oleh orang awam untuk menghalau haiwan malang itu. Akhirnya, pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa menggunakan ubat pelali bagi menenangkan ibu gajah tersebut sebelum mengalihkannya semula ke kawasan hutan yang lebih selamat.
Lebuh Raya Timur-Barat yang melintasi kawasan Hutan Simpan Belum-Temenggor seluas 30,000 hektar di Perak memang terkenal dengan konflik antara manusia dan hidupan liar akibat pencerobohan habitat oleh penempatan manusia dan aktiviti pertanian. Kawasan hutan ini yang dipercayai berusia 130 juta tahun, menjadi rumah kepada spesies terancam seperti harimau Malaya dan beruang matahari Malaya.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sahaja, enam ekor harimau Malaya telah mati akibat dilanggar kenderaan semasa melintas jalan raya, memberi gambaran jelas tentang seriusnya ancaman terhadap hidupan liar Malaysia. Menteri Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini menyifatkan kematian ini sebagai “tragedi kepada usaha pemuliharaan hidupan liar.”
Peristiwa ini menjadi satu peringatan penting tentang keperluan mendesak untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan hidupan liar yang lebih efektif. Antara cadangan yang sering dikemukakan oleh pakar pemuliharaan ialah pembinaan lebih banyak laluan hidupan liar di sepanjang lebuh raya tersebut, bagi mengurangkan risiko pertembungan maut antara manusia dan haiwan.
Jabatan Perhilitan sebelum ini telah mencadangkan waktu selamat bagi pengguna lebuh raya tersebut antara pukul 11 pagi hingga 4 petang bagi mengurangkan risiko pertemuan dengan gajah liar. Pada masa yang sama, pembinaan Pusat Perlindungan Gajah Perak yang dijangka siap pada 2029 sedang giat dilaksanakan, sebagai langkah jangka panjang mengatasi konflik ini.
Kisah pilu yang melibatkan kasih sayang seekor ibu gajah terhadap anaknya ini bukan sahaja membangkitkan rasa simpati tetapi juga mengingatkan kita tentang tanggungjawab bersama menjaga ekosistem semula jadi yang semakin terancam. Ia menyeru kepada tindakan segera bagi memastikan tragedi serupa tidak berulang, sekali gus melindungi hidupan liar sebagai khazanah negara yang amat bernilai.
#Prezcom