
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2025. Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan arahan rasmi supaya dua syarikat e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim, menghentikan operasi mereka di Malaysia bermula 24 Julai ini. Arahan ini susulan kedua-dua platform tersebut didapati gagal mematuhi peraturan ketat yang digariskan dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, “Berkuat kuasa 24 Julai ini, operasi InDrive dan Maxim hendaklah dihentikan serta-merta di seluruh negara. Walau bagaimanapun, kedua-dua syarikat tersebut masih berpeluang untuk membuat rayuan, yang hanya boleh diputuskan oleh saya sebagai Menteri Pengangkutan.”
Keputusan menghentikan operasi ini diambil setelah Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) mengemukakan gesaan supaya kerajaan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap kedua-dua aplikasi terbabit. Mereka mendakwa InDrive dan Maxim secara konsisten mengabaikan syarat-syarat keselamatan yang telah ditetapkan, termasuk tidak memastikan pemandu mereka memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah serta Permit Kenderaan E-hailing (EVP).
APAD mendapati bahawa pelanggaran syarat ini secara jelas bertentangan dengan Seksyen 12D(1)(a) Akta 715, yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk membatalkan lesen mana-mana operator e-hailing yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sebagai contoh, pemandu yang menggunakan aplikasi ini didapati beroperasi tanpa lesen PSV yang sah, sekaligus meningkatkan risiko keselamatan pengguna dan merendahkan integriti perkhimatan pengangkutan awam negara. Selain itu, kenderaan tanpa EVP juga tidak memenuhi syarat keselamatan wajib, meningkatkan risiko kemalangan dan komplikasi insurans sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Tindakan tegas ini diharap menjadi pengajaran dan amaran kepada semua pengendali e-hailing supaya lebih serius dalam mematuhi setiap syarat perlesenan. Ia juga satu peringatan penting kepada pengguna untuk memilih perkhidmatan yang sah dan mematuhi undang-undang demi menjamin keselamatan mereka sendiri.
Kerajaan melalui APAD komited dalam memastikan setiap platform e-hailing beroperasi dalam kerangka undang-undang yang jelas dan telus demi melindungi kepentingan dan keselamatan awam.
Dalam konteks lebih luas, langkah ini memperlihatkan pentingnya kerjasama antara agensi penguatkuasaan, pihak swasta, serta pengguna dalam mencipta persekitaran pengangkutan yang selamat, cekap, dan dipercayai oleh semua pihak. Keselamatan awam adalah keutamaan, dan tindakan ini menjadi bukti jelas komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan pengguna serta integriti industri pengangkutan awam negara.
#Prezcom