
KUALA LUMPUR, 12 Mei 2025. Pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini menyaksikan pertembungan dua tokoh besar, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, dengan isu nepotisme menjadi perdebatan hangat dalam kalangan ahli parti dan masyarakat umum.
Nurul Izzah, dalam pengumuman rasmi pencalonannya, menegaskan bahawa keputusan beliau bertanding bukanlah keputusan yang mudah, namun didorong oleh tanggungjawab terhadap parti. “Label ‘parti anak beranak’ bukanlah isu baharu. Sejak 1998, tuduhan ini digunakan untuk memperlekehkan perjuangan kita. Namun, pemilihan melalui demokrasi akar umbi tidak sama sekali boleh dianggap nepotisme,” jelas Nurul Izzah dalam kenyataan rasmi beliau.
Rafizi pula berpandangan bahawa pencalonan Nurul Izzah pasti akan mengundang persepsi nepotisme, yang akan digunakan oleh pihak lawan politik untuk menyerang PKR. “Isu ini tidak boleh dielakkan, dan parti perlu bersedia menghadapi serangan persepsi ini daripada rakyat,” kata Rafizi semasa rakaman langsung podcast Yang Bakar Menteri di Serdang.
Pada pemilihan kali ini, Nurul Izzah Anwar yang merupakan Naib Presiden PKR dan anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang juga Menteri Ekonomi. Rafizi telah menyatakan bahawa beliau akan melepaskan jawatan kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan dalam parti. “Jika saya kalah, saya akan meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan kembali sebagai ahli parlimen biasa, memberi saya lebih kebebasan bersuara dalam isu-isu penting,” tegas beliau.
Selain isu nepotisme, Rafizi turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan pemilihan dalaman parti oleh Jawatankuasa Pemilihan yang diketuai oleh Dr Zaliha Mustafa, yang didakwa mengabaikan ratusan bantahan ahli parti.
Pertembungan antara Nurul Izzah dan Rafizi bukan sahaja melibatkan soal individu, tetapi membawa implikasi lebih besar terhadap perpaduan dalaman parti dan persepsi awam terhadap PKR. Kedua-dua calon mempunyai asas sokongan yang kukuh dan membawa pendekatan kepimpinan yang berbeza. Nurul Izzah menekankan pentingnya pemerkasaan akar umbi dan perpaduan dalam parti, manakala Rafizi menegaskan keperluan reformasi lebih mendalam dalam tadbir urus parti serta ketegasan menghadapi persepsi nepotisme.
Isu nepotisme ini mengajar kita bahawa politik bukan sahaja tentang pemilihan calon atau jawatan, tetapi juga tentang integriti proses dan bagaimana persepsi awam perlu ditangani secara bijaksana. PKR perlu menunjukkan kematangan politik dengan menangani isu ini secara terbuka, rasional, dan berintegriti demi mengukuhkan kepercayaan rakyat.
Pemilihan PKR kali ini dijangka menjadi medan ujian penting yang menentukan hala tuju masa depan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa serta menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
#Prezcom