
KUALA LUMPUR, 11 Mei 2025 – Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM8 juta bagi program pembangunan usahawan Bumiputera dalam bidang optometri, sebagai langkah memperkasa penglibatan Bumiputera dalam industri yang sebelum ini kurang diterokai. Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, program ini bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang mahir serta mampu bersaing secara mampan dalam sektor optometri.
Menurut beliau, setiap peserta yang terpilih bakal menerima pembiayaan maksimum sehingga RM400,000, bergantung kepada keperluan dan pelan perniagaan masing-masing. Bantuan tersebut turut merangkumi latihan intensif bersama pakar industri dan bimbingan keusahawanan secara menyeluruh. “Peserta bukan sahaja diberi latihan teori tetapi juga peluang menjalani latihan praktikal dan penempatan kerja yang memastikan mereka betul-betul bersedia mengurus perniagaan optometri,” ujar beliau selepas Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Optometri hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial merangkap Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Lailatul Asmah Mohd Tahir, serta Pengurus Calisto, Wong Ching Fook.
Dalam sesi pemilihan awal, seramai 61 calon menghadiri temu duga tetapi hanya kira-kira 30 orang dipilih berdasarkan kelayakan akademik, komitmen, serta potensi keusahawanan. “Program ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan Calisto, sebuah syarikat peneraju dalam bidang optometri. Calisto akan memantau secara berterusan bagi memastikan peserta mampu mengendalikan perniagaan mereka dengan cekap dan terus berkembang,” jelas Zulfikri.
Tambah beliau lagi, program ini bukan sahaja membantu merapatkan jurang ekonomi, tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya penjagaan kesihatan mata serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan di seluruh negara.
“Selepas kejayaan kumpulan pertama, kita akan membuka lebih banyak peluang kepada individu yang berminat dalam bidang ini dari semasa ke semasa. Kita yakin usaha ini akan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam industri optometri, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara lebih inklusif,” katanya.
#Prezcom