Doktor Bantah Undang-Undang Penandaan Harga Ubat, Lancar Protes ke Putrajaya 6 Mei Ini

PUTRAJAYA, 2 Mei – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengumumkan akan mengadakan perarakan aman bertajuk “Doctors Betrayed: The Long Walk to Putrajaya” pada Selasa depan, 6 Mei 2025, sebagai bantahan terhadap pelaksanaan undang-undang baharu yang mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat secara terbuka.

Protes tersebut dijadualkan bermula dari Kementerian Kesihatan menuju Pejabat Perdana Menteri dengan tujuan menzahirkan ketidakpuasan hati para doktor dan pengamal perubatan swasta terhadap peraturan baharu ini yang mula berkuat kuasa hari ini.

Menurut MMA, undang-undang Price Control and Anti-Profiteering (Price Marking for Drugs) yang digubal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan ini telah dibuat tanpa rundingan yang mencukupi bersama pihak mereka. MMA menyifatkan peraturan ini bakal meningkatkan kos operasi dan menambah beban pentadbiran, yang akhirnya boleh menaikkan kos rawatan kepada pesakit.

“Kami menuntut rundingan. Kami menuntut keadilan. Sertai perarakan ini, pastikan suara kita didengar oleh kerajaan,” ujar MMA dalam satu poster yang dimuat naik di platform media sosial X sambil turut menandakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut undang-undang baharu ini, setiap ubat yang boleh dilihat pelanggan perlu ditanda dengan jelas harga jualannya. Bagi ubat yang tidak dipamerkan secara terbuka atau disimpan di belakang kaunter, senarai harga terperinci perlu disediakan sama ada secara fizikal atau elektronik, yang mudah diakses pengguna.

Senarai harga tersebut wajib mengandungi maklumat terperinci seperti nama generik atau bahan aktif ubat, kekuatan, nama dagangan serta harga setiap unit, berat atau ukuran. Kegagalan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan individu berdepan denda sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa objektif utama penguatkuasaan undang-undang ini adalah melindungi hak pengguna agar boleh membuat perbandingan harga secara lebih telus dan bijak. Orang awam digalakkan menyemak dan membandingkan harga ubat melalui fasiliti kesihatan swasta, farmasi komuniti serta platform dalam talian seperti aplikasi telefon pintar dan portal Program Perkhidmatan Farmasi yang disediakan KKM.

KKM turut menyeru pengguna untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan harga ubat sekiranya mendapati berlaku penetapan harga yang tidak munasabah atau membebankan.

Kronologi Kes:

Protes MMA minggu hadapan dijangka menjadi titik penting dalam rundingan selanjutnya antara pihak kerajaan dan sektor swasta bagi mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak, terutama sekali rakyat sebagai pengguna akhir.

#Prezcom