Subsidi Telur Ayam Ditamatkan Sepenuhnya Pada 1 Ogos 2025

Kuala Lumpur, 1 Mei 2025. Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa subsidi telur ayam dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula 1 Mei 2025, dan akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025. Langkah ini menandakan satu fasa baharu dalam dasar subsidi makanan negara selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi di bawah Kerajaan MADANI.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), keputusan itu dibuat berdasarkan keyakinan bahawa industri kini sudah bersedia untuk beroperasi tanpa kebergantungan penuh kepada subsidi. Kos pengeluaran telur ayam dilaporkan telah stabil, dan bekalan semasa adalah mencukupi, seperti yang dibuktikan sepanjang musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk menampung subsidi telur ayam. Namun, kelangsungan pemberian subsidi dalam jangka masa panjang dilihat sebagai tidak mampan dari segi fiskal dan industri.

Keputusan ini melibatkan dua kementerian utama:

Pemain industri turut diminta untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang lebih munasabah bagi meminimumkan impak kepada pengguna. Selain itu, inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah akan diperluas bagi membolehkan rakyat membeli telur pada harga lebih kompetitif.

Namun begitu, pengeluar telur ayam kecil dan sederhana menyuarakan kebimbangan mereka. Menurut Lim Ka Cheng, Pengerusi Penternak Unggas Johor, pihak industri tidak dimaklumkan lebih awal dan pengumuman ini mengejutkan ramai penternak.

“Kami bimbang dengan kesan rantaian terhadap harga kerana lebih 90 peratus makanan ternakan ayam seperti jagung diimport dari luar negara seperti Brazil dan Argentina. Sebarang turun naik harga global boleh memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran tempatan,” ujarnya.

Dalam tempoh seminggu selepas pengurangan subsidi ini, pihak industri menjangkakan harga pasaran telur mungkin berubah, bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan semasa. Ini kerana telur ayam segar hanya bertahan sekitar seminggu. Penternak berharap agar kerajaan menjalankan libat urus secara aktif dalam sebarang perubahan dasar pada masa hadapan. Tanpa dialog yang inklusif, langkah-langkah mengejut seperti ini boleh menjejaskan kestabilan rantaian bekalan dan menekan pengguna.

KPDN pula memberi jaminan bahawa penguatkuasaan akan dipertingkat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membendung sebarang cubaan menaikkan harga secara tidak wajar oleh peniaga.

Langkah ini membuka perbincangan penting tentang keperluan penstrukturan semula subsidi ke arah yang lebih adil dan mampan. Ia menekankan bahawa subsidi bersasar – hanya untuk golongan yang benar-benar memerlukan – adalah lebih sesuai dalam jangka masa panjang berbanding pemberian menyeluruh yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Bagi rakyat, penting untuk mengetahui alternatif yang disediakan seperti Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI. Bagi penternak, isu ini memperlihatkan betapa pentingnya dialog awal dan perancangan bersama sebelum dasar utama diubah.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam kenyataan KPKM, subsidi tidak boleh menjadi alat kekal, tetapi perlu dijadikan jaring keselamatan sementara — menuju kepada kemandirian industri dan kesejahteraan rakyat secara lestari.

#Prezcom