
PUTRAJAYA, 1 Mei 2025 – Bermula hari ini, semua farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara diwajibkan untuk memaparkan harga ubat-ubatan secara jelas dan telus kepada pengguna. Langkah ini dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025, selaras dengan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang dipacu oleh Kerajaan MADANI melalui kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Ia bertujuan memberikan kuasa dan maklumat yang tepat kepada rakyat dalam membuat pilihan bijak mengenai perbelanjaan kesihatan mereka.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, pelaksanaan ini melibatkan penandaan harga ke atas semua jenis ubat kegunaan manusia dan ini termasuk ubat terkawal, ubat tanpa preskripsi (over-the-counter), ubat tradisional, suplemen kesihatan serta ubat bancuhan (extemporaneous preparations).
Ubat-ubatan yang dipamerkan secara terbuka hendaklah ditandakan dengan label harga terus pada produk. Manakala ubat-ubatan yang tidak dipamerkan, seperti yang berada di belakang kaunter, perlu disenaraikan dalam paparan harga jualan yang boleh diakses pengguna. Paparan ini boleh dibuat dalam bentuk fizikal seperti katalog atau papan kenyataan, atau secara digital melalui skrin elektronik di premis terbabit.
Dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan, KKM akan menggunakan pendekatan pendidikan secara berfasa untuk memberi ruang penyesuaian kepada pengusaha farmasi dan klinik. Pemeriksaan akan dijalankan secara berkala, dengan penekanan kepada advokasi dan bimbingan, sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan.
Pihak kementerian menyeru semua pengusaha untuk memberikan kerjasama penuh dalam usaha memartabatkan hak pengguna. Sementara itu, pengguna digalakkan membuat aduan jika terdapat pelanggaran melalui:
SISPAA KKM: https://moh.spab.gov.my | Portal eAduan KPDN: https://eaduan.kpdn.gov.my | Maklumat lanjut dan soalan lazim boleh dirujuk di portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi KKM: www.pharmacy.gov.my.
#Prezcom