Kebebasan Wanita dan Kesetaraan Gender

KUALA LUMPUR, 25 April 2025. Dakwaan bahawa wanita Islam tidak memiliki kebebasan seringkali menjadi perdebatan hangat dalam forum hak asasi manusia antarabangsa. Namun, perspektif Islam tentang kebebasan wanita adalah jauh lebih mendalam daripada anggapan umum. Islam tidak menafikan kebebasan, sebaliknya mengiktirafnya dalam kerangka syariat dan tanggungjawab moral.

Islam Mengiktiraf Kebebasan Wanita Berdasarkan Fitrah

Wanita dalam Islam diberikan pelbagai hak sebagai contoh dari pendidikan, pemilikan harta, hak memilih pasangan hidup, sehingga hak untuk menuntut cerai jika berlaku penganiayaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70 menjelaskan bahawa semua manusia dimuliakan tanpa membeza jantina. Hak ini tidak terhad kepada teori, tetapi turut dipraktikkan dalam sistem kehidupan Islam yang komprehensif.

Menurut Imam al-Ghazali, kebebasan dalam Islam adalah “keluar dari perhambaan hawa nafsu” dan kembali kepada pengabdian kepada Allah SWT. Justeru, kebebasan yang ditawarkan Islam bukanlah kebebasan mutlak yang tanpa sempadan, tetapi kebebasan yang menekankan kehormatan, tanggungjawab, dan kesejahteraan sosial.

Perbezaan dengan Konsep Bebas Barat

Sebaliknya, pandangan Barat terhadap kebebasan sering berasaskan fahaman sekular dan materialistik. Kamus Cambridge mendefinisikan kebebasan sebagai hak untuk hidup, bersuara, dan membuat keputusan sendiri tanpa dikawal sesiapa. Namun, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa kebebasan Barat cenderung mengabaikan nilai moral dan spiritual – malah sering mengeksploitasi tubuh wanita dalam industri hiburan.

Dalam bukunya The Concept of Freedom in Islam and the West, beliau menegaskan bahawa pemikiran Barat gagal memahami manusia secara menyeluruh – tidak seperti Islam yang menghubungkan kebebasan dengan tanggungjawab terhadap Tuhan dan masyarakat.

Contoh-Contoh Kebebasan Wanita dalam Islam

1. Pendidikan: Islam mewajibkan ilmu ke atas semua Muslim, termasuk wanita. Sabda Nabi SAW: “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim.” Saidatina Aisyah RA ialah bukti wanita mampu menjadi pendidik dan rujukan ulung dalam bidang ilmu syarak.

2. Sosial: Wanita Islam dibenarkan bekerja, berdakwah, dan melibatkan diri dalam masyarakat – selagi peranan utama mereka dalam keluarga tidak diabaikan. Islam juga mengiktiraf hak wanita untuk memilih pasangan dan membubarkan perkahwinan yang zalim melalui tuntutan fasakh.

3. Ekonomi: Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 32 dan 7 menyatakan bahawa wanita berhak memiliki harta dan menerima bahagian warisan seperti lelaki. Hak ekonomi wanita dalam Islam telah lama wujud, jauh lebih awal daripada pergerakan feminis di Barat.

Kontroversi Global dan Reaksi Malaysia

Forum antarabangsa seperti CEDAW sering menekan negara-negara Islam untuk melaksanakan absolute equality antara lelaki dan wanita. Namun, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati. Beberapa artikel CEDAW ditolak atau dikecualikan kerana bercanggah dengan Perlembagaan, undang-undang Syariah dan budaya tempatan. Contohnya, isu perkahwinan, perceraian, penjagaan anak dan nafkah di Malaysia masih tertakluk kepada Mahkamah Syariah bagi Muslim. Ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak menolak hak wanita, tetapi menyesuaikannya mengikut norma dan prinsip keadilan dalam Islam.

Pandangan Islam: Kesamarataan Bukan Persamaan Mutlak

Islam menolak idea bahawa lelaki dan wanita perlu menjalankan tugas yang sama untuk dianggap setara. Sebaliknya, Islam menekankan keadilan serta memberikan hak dan tanggungjawab mengikut kemampuan dan fitrah masing-masing. Konsep ini berbeza dengan tuntutan kesamarataan mutlak yang tidak mengambil kira perbezaan biologi dan sosial.

“Lelaki dan wanita itu sama pada asal taklifan syariat, pahala dan balasan, tetapi berbeza dari sudut bentuk tugasan dan tanggungjawab.” – Prof. Dr. Syeikh Ali Jum’ah

Kebebasan yang Memelihara, Bukan Membebaskan dari Tanggungjawab

Kebebasan wanita dalam Islam adalah bentuk pemuliaan, bukan penafian. Islam tidak mengekang wanita, sebaliknya memberikan ruang untuk mereka berkembang secara bermaruah, mematuhi syariat dan berperanan aktif dalam keluarga serta masyarakat. Perbezaan antara lelaki dan wanita bukan diskriminasi, tetapi susunan hikmah yang menjadikan setiap insan unik dalam fungsi dan peranan.

Erti kebebasan sebenar bagi wanita Muslimah bukanlah ‘bebas buat apa saja’, tetapi bebas yang dipandu – agar lebih dekat dengan Tuhan dan tidak diperalat oleh budaya tanpa sempadan.

#Prezcom