Kementerian Pendidikan Mohon Maaf Isu Jalur Gemilang; Ibu Bapa Mahu Alternatif Lencana Lebih Selamat untuk Pelajar

KUALA LUMPUR, 25 April 2025 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memohon maaf secara terbuka atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang tidak tepat dalam laporan analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di tengah-tengah kontroversi berterusan melibatkan imej bendera negara.

Dalam satu kenyataan rasmi, KPM mengakui kelalaian tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan maruah negara. “Kesilapan ini tidak boleh diterima. Tindakan tegas telah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu. Laporan analisis bercetak yang mengandungi kesilapan tersebut telah diminta untuk dipulangkan bagi proses pembetulan segera.

Rentetan Insiden Bendera Salah

Insiden ini bukan yang pertama dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Pada 15 April lalu, akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily turut menerima kritikan selepas memaparkan imej Jalur Gemilang yang salah di muka depan akhbarnya. Tidak lama selepas itu, akhbar Kwong Wah Yit Poh juga dikesan menyiarkan ilustrasi bendera tidak lengkap di laman Facebook rasmi mereka.

Minggu lalu, sebuah syarikat pempamer dari Singapura, Singapore Lactation Bakes, yang menyertai sebuah ekspo keibubapaan turut dikecam apabila latar belakang videonya memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Lencana Pin Cetus Kebimbangan Keselamatan Pelajar

Sementara itu, pelaksanaan inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang jenis pin di semua institusi pendidikan bawah KPM turut menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan ibu bapa.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, mempersoalkan keselamatan penggunaan lencana berbentuk pin, khususnya untuk pelajar sekolah rendah. Beliau mencadangkan agar KPM menawarkan pilihan lencana jenis jahitan yang lebih selamat dan tahan lama. “Kami menerima banyak aduan ibu bapa yang bimbang anak mereka boleh tercucuk atau pakaian sekolah berlubang akibat lencana pin ini,” katanya.

Program pemakaian lencana tersebut, yang bermula minggu ini, melibatkan agihan dua unit lencana pin percuma kepada semua pelajar sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru, bertujuan memupuk semangat patriotisme. Namun begitu, ramai ibu bapa menyuarakan rasa kecewa terhadap kualiti lencana yang dikatakan mudah tercabut dan tidak tahan lama. Ada yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk membeli lencana alternatif berbentuk jahitan atau magnet demi keselamatan anak-anak.

Pelaksanaan Didesak Ditangguhkan

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan yang tergesa-gesa. “Kenapa tidak laksanakan semasa sesi persekolahan baharu 2026? Sekurang-kurangnya semua pihak dapat membuat persediaan lebih rapi,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan agar lencana dijahit terus pada pakaian seragam atau digantikan dengan versi magnetik yang lebih praktikal dan selamat.

Kecintaan terhadap negara sememangnya wajar dipupuk sejak dari bangku sekolah. Namun begitu, semangat patriotisme perlu datang bersama kebijaksanaan dan perancangan teliti. Kesilapan berulang dalam memaparkan Jalur Gemilang bukan sahaja mencalar imej institusi, tetapi juga menggambarkan kecuaian yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.

Begitu juga dengan langkah memperkenalkan simbol patriotisme seperti lencana bendera, ia harus dilakukan dengan mengambil kira keselamatan, keberkesanan dan maklum balas masyarakat. Dalam mendidik generasi muda, kita bukan sahaja mengajar mereka mencintai negara, tetapi juga mengajar mereka bahawa dalam setiap tindakan, ketelitian dan tanggungjawab adalah lambang kematangan sebuah negara.

#Prezcom