Gambar Hiasan – Bill O’Reilly Dikritik Hebat, Kenyataan Hina Melayu Cetus Kemarahan

KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Kenyataan provokatif pengulas politik konservatif Amerika, Bill O’Reilly yang mendakwa “Orang Melayu tidak akan membeli barangan kerana mereka tiada duit,” mencetuskan kecaman hebat daripada pelbagai pihak di Malaysia. Kenyataan tersebut dibuat susulan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Melalui saluran YouTube miliknya, O’Reilly memperlekeh keputusan Presiden Xi Jinping melawat Asia Tenggara, dengan mendakwa rantau tersebut tidak mempunyai kekuatan ekonomi. Dengan nada sinis, O’Reilly mempersoalkan tujuan Xi dengan menyatakan, “Mereka tidak mempunyai wang sama sekali, okay? Mereka tidak boleh bantu kamu, mereka tidak akan membeli barangan kamu. Kerana mereka tiada duit, faham?”

Lebih memburukkan keadaan, O’Reilly secara khusus menyasarkan masyarakat Melayu dengan kenyataan, “Orang Melayu tidak akan membeli barangan kamu. Mereka tiada duit,” disusuli gelak sinis yang memperkecilkan.

Kenyataan ini pantas mendapat kecaman keras daripada rakyat Malaysia di pelbagai platform media sosial dan forum awam, sehingga mendorong reaksi segera daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pakar pembangunan perniagaan, Coach Megat.

Pakar pembangunan perniagaan, Ts.Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari atau lebih dikenali sebagai Coach Megat, tampil dengan kenyataan balas yang keras terhadap penghinaan terbuka itu, menegaskan bahawa pandangan O’Reilly adalah cetek, tidak tepat, dan kurang ajar.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial, Coach Megat menegaskan, “Amerika amat tergugat dengan lawatan Presiden Xi kerana mereka tahu potensi besar pasaran yang sedang diterokai China. Statistik rasmi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia menunjukkan perdagangan Malaysia-China mencecah RM487 bilion pada tahun 2024 sahaja.”

Beliau turut menambah bahawa platform e-dagang seperti Lazada, Taobao, Tmall dan JD.com membuka akses luas pasaran Malaysia kepada China. “Ini jelas menunjukkan pasaran Malaysia mempunyai kuasa beli tinggi, bertentangan dengan dakwaan tidak berasas oleh O’Reilly,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penghinaan kepada masyarakat Melayu, Coach Megat berkata, “Kenyataan O’Reilly yang memperkecilkan Melayu amatlah dangkal. Melayu bukan sahaja mempunyai kuasa beli, tetapi juga mempunyai pengaruh besar menerusi jaringan ASEAN yang mempunyai hampir 700 juta penduduk, jauh melebihi penduduk Amerika Syarikat.”

Beliau turut mengingatkan kembali kesan boikot oleh masyarakat Melayu terhadap jenama antarabangsa yang dilihat menyokong isu kontroversi. “Starbucks, KFC dan McDonald’s mengalami kerugian besar dan menutup banyak cawangan di Malaysia akibat boikot oleh masyarakat Melayu-Islam. Ini bukti jelas betapa kuatnya pengaruh ekonomi masyarakat Melayu,” tegasnya.

Coach Megat turut mengkritik sikap angkuh O’Reilly, menyifatkan kenyataannya sebagai “pemikiran lapuk dan tidak relevan dalam konteks ekonomi global hari ini.”

Kontroversi ini menarik perhatian meluas di media sosial, dengan ramai pengguna menuntut permohonan maaf daripada O’Reilly terhadap penghinaan yang dilemparkannya.

#Prezcom