
KUALA LUMPUR, 20 April 2025. Di tengah ketegangan perdagangan yang berterusan antara China dan Amerika Syarikat, lawatan Presiden China, Xi Jinping ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Vietnam, Malaysia, dan Kemboja, telah mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan provokatif oleh pengulas politik konservatif Amerika, Bill O’Reilly.
Melalui saluran YouTube miliknya, O’Reilly memperlekeh keputusan Presiden Xi Jinping melawat Asia Tenggara, dengan mendakwa rantau tersebut tidak mempunyai kekuatan ekonomi. Dengan nada sinis, O’Reilly mempersoalkan tujuan Xi dengan menyatakan, “Mereka tidak mempunyai wang sama sekali, okay? Mereka tidak boleh bantu kamu, mereka tidak akan membeli barangan kamu. Kerana mereka tiada duit, faham?”
Lebih memburukkan keadaan, O’Reilly secara khusus menyasarkan masyarakat Melayu dengan kenyataan, “Orang Melayu tidak akan membeli barangan kamu. Mereka tiada duit,” disusuli gelak ketawa yang memperkecilkan.
Kenyataan ini pantas mendapat kecaman keras daripada rakyat Malaysia di pelbagai platform media sosial dan forum awam, sehingga mendorong reaksi segera daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sidang media sempena majlis Aidilfitri Kementerian Kewangan, Anwar menyifatkan kenyataan O’Reilly sebagai “paparan jelas keangkuhan melampau.” Beliau menegaskan bahawa kenyataan tersebut menunjukkan perspektif yang “tidak berpengetahuan dan jahil”, mencerminkan “pandangan dunia yang sempit yang dipengaruhi oleh prasangka perkauman dan pemikiran penjajah.”
“Pemikiran sebegini mendedahkan individu yang masih terperangkap dalam sikap imperialisme lapuk, yang menyuburkan xenofobia, prejudis kaum, dan Islamofobia,” kata Anwar dengan tegas.
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa pandangan O’Reilly tidak mencerminkan realiti sebenar ekonomi Asia Tenggara, sebaliknya menganggap kenyataan tersebut sebagai sesat dan tidak tepat.
Kontroversi ini memperlihatkan ketegangan antara persepsi ekonomi global dan realiti dinamik perdagangan yang semakin berkembang di Asia Tenggara dalam konteks pertikaian perdagangan AS-China.
#Prezcom