
KUALA LUMPUR, 20 April 2025. Pemilihan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung baru-baru ini mencatat beberapa keputusan mengejutkan apabila dua pemimpin tertinggi parti berstatus Menteri dan Timbalan Menteri tewas dalam pertandingan di cabang masing-masing. Antara yang tewas ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang kehilangan kedudukannya sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa kepada pelakon dan pelawak terkenal, Datuk Afdlin Shauki.
Dalam pemilihan tersebut, Afdlin berjaya meraih 631 undi mengatasi Nik Nazmi yang hanya memperolehi 563 undi. Kemenangan ini amat signifikan buat Afdlin yang sebelum ini pernah tewas kepada Nik Nazmi pada pemilihan tahun 2022. Afdlin menyertai PKR pada tahun 2021, manakala Nik Nazmi merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa selama dua penggal serta memegang jawatan Naib Presiden PKR.
Nasib sama turut menimpa seorang lagi Naib Presiden PKR merangkap Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, yang tewas dalam pertandingan lima penjuru di Cabang Bukit Bintang. Anwar Pawan Chik muncul sebagai pemenang dengan 807 undi berbanding Saraswathy yang memperolehi 683 undi. Di Wangsa Maju pula, Lai Chen Heng berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Cabang, menewaskan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, di tengah-tengah kontroversi dakwaan manipulasi kewangan cabang menjelang pemilihan. Lai Chen Heng memperoleh 587 undi, mengatasi Zahir yang mendapat 495 undi.
Sementara itu, pemimpin tertinggi seperti Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, dan Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai Ketua Cabang Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak tanpa bertanding.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, tewas mengejut kepada muka baharu, Aseeq Seth Ali di Cabang Batu. Prabakaran sebelum ini turut dikaitkan dengan tuduhan politik wang, namun menafikan dakwaan tersebut yang tular melalui satu video di media sosial, memaparkan seorang wanita menawarkan duit raya sebanyak RM100 kepada pengundi di Batu.
Dakwaan Serius Manipulasi Undian Dalam Talian
Namun, suasana pemilihan ini menjadi semakin panas apabila timbul dakwaan serius mengenai penipuan sistem undian secara dalam talian. Menurut seorang calon, Faizal, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dikatakan gagal memainkan peranan dengan adil dan telus.
Faizal mendakwa sistem pengundian dalam talian yang digunakan sangat mencurigakan. Beliau memberi contoh di Kuala Selangor, di mana keputusan diumumkan selepas hampir 20 jam tamatnya proses pengundian, walaupun hanya melibatkan 3,800 pengundi. Lebih mengejutkan, terdapat kes calon ketua cabang yang didakwa hanya menerima empat undi, walaupun mempunyai lebih 100 pencadang tetap yang sah. Faizal mempersoalkan ke mana hilangnya baki undi-undi tersebut, serta menyifatkan perkara ini sebagai tidak masuk akal.
Beliau turut menyebut situasi ganjil di mana seorang ketua cabang boleh menang tetapi keseluruhan pasukan jawatankuasanya tewas, sesuatu yang sangat jarang berlaku dalam sejarah pemilihan parti tersebut. Faizal menuntut agar JPP mengemukakan data lengkap berkaitan jumlah ahli yang gagal mengundi akibat kegagalan sistem, selain mendesak laporan terperinci berhubung undi rosak atau ralat sistem.
Menurut Faizal lagi, sistem ini adalah pelanggaran serius terhadap hak ahli parti yang dijamin oleh perlembagaan parti sendiri. “Jika sistem ini dianggap yang terbaik oleh PKR, adakah parti bersedia menggunakan sistem ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang?” tegas beliau.
JPP Nafi Tuduhan, Sedia Siasat Aduan
Sebagai respons, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) melalui pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, menolak dakwaan wujudnya “tangan ghaib” atau manipulasi dalam proses pemilihan kali ini.
Menurut Dr. Zaliha, JPP telah memantau rapat seluruh proses pemilihan dan bekerja secara telus bersama pasukan pembangun sistem undian dalam talian. “Setakat pemantauan kami, tiada sebarang tanda wujudnya campur tangan pihak tertentu. Kami tidak kenal pun siapa ‘chai’ atau kumpulan tertentu yang disebut-sebut,” jelasnya.
Namun begitu, beliau turut mengakui pihak JPP tidak memandang ringan setiap aduan atau ketidakpuasan hati ahli parti. Beliau menggesa mana-mana ahli yang mempunyai bukti jelas mengenai unsur rasuah atau politik wang supaya mengemukakan aduan rasmi untuk disiasat dengan teliti. Dr. Zaliha menegaskan bahawa pemilihan parti adalah proses penting untuk memilih pemimpin berintegriti tinggi dan menolak sebarang bentuk politik wang atau manipulasi yang bertentangan dengan prinsip demokrasi parti.
Kekecohan dalam pemilihan PKR ini memberi pengajaran penting kepada semua pihak bahawa sistem teknologi yang digunakan dalam pemilihan haruslah telus dan benar-benar diuji keberkesanannya. Integriti pemilihan dalaman parti menjadi refleksi kepada tahap kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut dalam pentadbiran negara. Justeru, semua parti politik harus mengambil iktibar supaya memperketatkan kawalan pemilihan, memastikan ketelusan, serta tidak sesekali berkompromi dengan politik wang yang boleh meruntuhkan integriti parti dan kepercayaan rakyat.
#Prezcom