
KUALA LUMPUR, 20 April 2025. Kontroversi membabitkan paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit sekali lagi mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia apabila sebuah syarikat vendor produk bayi dari Singapura, Singapore Lactation Bakes (SLB), menayangkan imej tersebut semasa berlangsungnya TCE Baby Expo di Mid Valley Exhibition Centre. Ini adalah insiden kali ketiga dalam tempoh seminggu selepas dua syarikat akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia dan mendapat teguran dari Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Video yang dipamerkan oleh SLB di pentas utama ekspo hanya memaparkan 14 jalur merah-putih dan bintang pecah 14 tanpa simbol bulan sabit, mengundang kecaman ramai pihak kerana dianggap mencemar lambang kedaulatan negara.
Susulan kejadian itu, SLB segera memohon maaf secara terbuka, mengakui kesilapan yang berlaku sebagai tidak disengajakan tetapi amat dikesali.
“Kami amat menyesali kesilapan ini dan memohon maaf dengan sepenuh hati. Kami memahami kepentingan Jalur Gemilang sebagai lambang identiti, warisan dan perpaduan rakyat Malaysia. Kami menerima tanggungjawab sepenuhnya dan akan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang,” kata SLB dalam satu kenyataan.
Berikutan insidn ini pihak penganjur, TCE Baby Expo, telah menghentikan operasi kiosk SLB dan menurunkan video kontroversi tersebut daripada pentas utama pameran.
“Kami memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas insiden ini. Walaupun bahan paparan tersebut disediakan oleh pihak pempamer, kami tidak mengambil ringan perkara ini. TCE Baby Expo dibina atas kepercayaan rakyat Malaysia, dan kepercayaan itu adalah amat penting bagi kami,” jelas kenyataan rasmi daripada TCE Baby Expo.
Penganjur juga menegaskan bahawa siasatan dalaman sedang giat dijalankan untuk menentukan punca sebenar insiden, selain memberi jaminan akan memperketatkan proses semakan kandungan bagi mengelakkan insiden serupa pada masa akan datang.
Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh turut terlibat dalam kontroversi yang sama apabila menerbitkan paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, menyebabkan kedua-duanya kini dalam siasatan pihak polis.
Sin Chew Daily bertindak menggantung Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarangnya sementara menunggu hasil siasatan lanjut, manakala Kwong Wah Yit Poh juga dalam proses siasatan berhubung satu paparan di Facebook mereka.
Insiden-insiden ini menjadi peringatan penting kepada semua pihak tentang betapa kritikalnya menjaga maruah simbol-simbol negara, khususnya Jalur Gemilang yang mencerminkan identiti dan perpaduan Malaysia.
#Prezcom