Israel Tegas Halang Bantuan Kemanusiaan ke Gaza, Gaza Bertukar Menjadi Kubur Besar Rakyat Palestin

BAITULMAQDIS, 17 April 2025 – Israel menegaskan tidak akan membenarkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, dalam usaha meningkatkan tekanan terhadap Hamas yang menguasai wilayah Palestin tersebut. Kenyataan ini dibuat oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada hari Rabu, selepas lawatan lapangan bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu serta pegawai tinggi tentera.

Sejak 2 Mac lalu, Israel menghentikan dan menghalang sepenuhnya kemasukan bekalan makanan, air, ubat-ubatan, dan bahan api ke Gaza. Katz berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi meluas Israel untuk menaklum Gaza. “Dasar Israel jelas – tiada bantuan kemanusiaan yang akan memasuki Gaza. Tiada siapa yang sedang bersiap atau bercadang untuk membenarkan sebarang bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dalam keadaan sekarang,” katanya.

Pada 16 April, serangan udara Israel ke atas Bandar Gaza meragut nyawa sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, sementara serangan keseluruhan pada hari tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 11 kematian.

Koordinator Doctors Without Borders (MSF), Amande Bazerolle, menyifatkan Gaza kini telah bertukar menjadi “kubur besar bagi rakyat Palestin dan mereka yang cuba membantu mereka.” Beliau menambah, keadaan keselamatan yang meruncing serta kekurangan bekalan kritikal menyukarkan usaha memberikan bantuan perubatan kepada penduduk Gaza.Menurut Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Ocha), Gaza kini menghadapi krisis kemanusiaan paling dahsyat sejak perang bermula pada Oktober 2023. Tiada bekalan yang memasuki Gaza sejak sebulan setengah lalu, menyebabkan bekalan ubat, air, bahan api, dan keperluan asas lain semakin kehabisan.

Pertempuran terbaru antara Israel dan Hamas tercetus kembali pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata selama dua bulan. Konflik ini bermula pada 7 Oktober 2023 dan sejak itu, lebih 51,000 orang, majoritinya penduduk awam, telah terbunuh di Gaza akibat serangan balas Israel.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dijadualkan memulakan perbicaraan pada 28 April bagi menilai tanggungjawab kemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin, susulan resolusi Perhimpunan Agung PBB pada Disember lalu. Walaupun keputusan ICJ tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan, ia dijangka mampu meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel. Keadaan di Gaza semakin membimbangkan, dengan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berterusan. Situasi ini mengundang perhatian antarabangsa mengenai keperluan mendesak untuk membuka semula laluan bantuan bagi mengurangkan penderitaan penduduk Gaza.

#Prezcom