OpenAI Teroka Rangkaian Sosial Sendiri Diinspirasikan oleh ChatGPT

SAN FRANCISCO, 16 April 2025.

OpenAI, terkenal dengan teknologi ChatGPT yang canggih, dilaporkan sedang dalam peringkat awal membangunkan rangkaian sosialnya sendiri, menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai yang mengetahui perkembangan dalaman syarikat. Satu prototaip dalaman kini wujud dalam OpenAI, yang memberi tumpuan utama kepada keupayaan penjanaan imej melalui ChatGPT, disertakan dengan suapan sosial yang mesra pengguna. Sumber mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman, secara diam-diam telah menghubungi individu dalam industri dan pihak luar untuk mendapatkan maklum balas awal mengenai projek ini. Setakat ini, masih belum jelas sama ada platform sosial yang dirancang ini akan beroperasi sebagai aplikasi bebas atau disepadukan dalam ChatGPT, aplikasi berkuasakan AI yang menduduki carta muat turun global tertinggi bulan lalu. Inisiatif OpenAI untuk melangkah ke dalam bidang media sosial dijangka meningkatkan persaingan dengan tokoh teknologi Elon Musk.

Sebelum ini, Musk pernah mengemukakan tawaran bernilai AS$97.4 bilion untuk membeli OpenAI secara tidak rasmi. Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak Altman, yang secara berseloroh menyatakan minat untuk membeli platform media sosial Twitter (kini dikenali sebagai X) dengan harga AS$9.74 bilion sebagai balasan. Potensi OpenAI untuk melangkah ke dalam arena media sosial juga menunjukkan persaingan yang semakin meningkat dengan gergasi teknologi Meta, yang dilaporkan turut merancang untuk menambah elemen suapan sosial dalam aplikasi AI kendiri akan datang.

Spekulasi awal mengenai pembangunan pesaing ChatGPT oleh Meta mendorong Altman memberi bayangan minat OpenAI terhadap media sosial dengan memberi respon awam, “baiklah, mungkin kami akan menghasilkan aplikasi sosial.” Kelebihan strategik utama bagi OpenAI didalam melancarkan platform sosialnya sendiri adalah akses kepada data masa nyata yang dihasilkan pengguna secara proprietari. Data sedemikian, serupa dengan sumber dimiliki oleh X dan Meta, amat berharga untuk meningkatkan dan melatih model AI. Platform AI Musk, Grok, mengintegrasikan kandungan X ke dalam jawapannya, manakala Meta menggunakan maklumat pengguna yang luas untuk melatih model Llama mereka.

Walaupun skop projek ini menjanjikan, masih belum jelas sama ada eksplorasi awal media sosial OpenAI akhirnya akan sampai kepada pengguna. Namun, pembangunan berterusannya menunjukkan pendirian proaktif syarikat dalam mengembangkan potensi di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan yang sangat tinggi.

#Prezcom