Lokasi Kelip-Kelip Terunggul di Malaysia: Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu

KEMAMAN, 15 APRIL 2025 – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu telah merasmikan Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah yang berlangsung di Kemaman, Terengganu petang ini. Pembangunan Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah ini bagi tujuan pemuliharaan, restorasi dan rehabilitasi habitat kritikal untuk kelangsungan populasi kelip-kelip di ekosistem Sungai Chukai. Projek ini dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Program Pemuliharaan Landskap, Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Ia dibangunkan berdasarkan dapatan kajian menyeluruh oleh kumpulan pakar merangkumi arkitek landskap, pakar entomologi (kelip-kelip), jurutera serta ahli profesional berkaitan demi menjamin keseimbangan antara keperluan ekologi, teknikal dan aspek pelancongan lestari.

Santuari ini diiktiraf sebagai salah satu lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia, khususnya sebagai habitat semula jadi spesies Pteroptyx tener, iaitu sejenis kelip-kelip unik yang berkeupayaan berkelip secara serentak, menjadikan fenomena ini amat jarang ditemui dan menjadi tarikan kepada peminat alam semula jadi serta pelancong eko. Menurut YB Datuk Hajah Aiman Athirah,”Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah bukan sahaja simbol pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga peluang untuk menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan lestari. Usaha ini seharusnya dijadikan contoh bagaimana keindahan landskap semula jadi boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab oleh Pihak Berkuasa Tempatan”.


Lokasi Kelip-Kelip Terunggul di Malaysia: Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu

Bagi menyokong usaha pemuliharaan habitat kelip-kelip ini, sejumlah 200 pokok bakau, 2,000 pokok berembang dan 500 pokok nipah telah ditanam sepanjang Sungai Chukai. Projek ini turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung seperti jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot menyusuri sungai bagi menyaksikan keindahan kelip-kelip pada waktu malam.

Selain menjadi destinasi pelancongan, santuari ini juga berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan aktiviti sukarelawan pemuliharaan. Pelancaran projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KPKT melalui JLN untuk memelihara Kawasan ekosistem penting dan memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar bertaraf antarabangsa. Dalam majlis yang sama, YB Datuk Hajah Aiman Athirah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada tujuh (7) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu bagi pelaksanaan projek Taman Rekreasi MADANI 2025. Peruntukan ini dijangka memberi impak positif terhadap pemerkasaan ruang hijau dan penambahbaikan kawasan rekreasi di seluruh negeri Terengganu.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, YB Dato’ Haji Wan Sukairi bin Wan Abdullah; ADUN Kijal, YB Datuk Razali bin Idris; ADUN Kemasik, YB Ir Haji Saiful Azmi bin Suhaili; Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), KPKT YBhg. Tuan Haji Suhaimi bin Ali @ Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, YBrs. En. Mansor bin Mohamad; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kemaman, YBrs. En. Fadli Yusof bin Zakaria; pegawai-pegawai kanan KPKT dan MPK serta pemimpin masyarakat setempat.

Sumber
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

#Prezcom