Rainbow Home diarah tutup serta-merta

KUALA LUMPUR, 13 April 2025 – Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi (Rainbow Home) di Cheras, Selangor, telah diarahkan tutup serta-merta oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) susulan dakwaan penderaan serius terhadap kanak-kanak yang menghuni pusat tersebut.

Arahan ini dikeluarkan selepas satu pemeriksaan mengejut dijalankan oleh Pegawai Diberi Kuasa (PBDK) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat bersama polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak IPD Kajang pada 9 April lalu.

Semasa pemeriksaan, dua penjaga pusat jagaan itu telah dipanggil ke IPD Kajang bagi membantu siasatan lanjut. Sebagai tindakan awal, kesemua 18 kanak-kanak iaitu 12 lelaki dan enam perempuan yang tinggal di pusat tersebut telah diselamatkan serta dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan kesihatan. Mereka kini ditempatkan di PKMD Hulu Langat untuk saringan awal.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pasangan warga emas berusia 66 dan 68 tahun yang merupakan pemilik pusat tersebut telah ditahan polis pada jam 3.20 petang selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang remaja berusia 18 tahun yang mendakwa telah didera oleh pemilik premis itu. “Remaja tersebut mendakwa telah dimarahi dan ditampar di pipi kiri oleh penjaga rumah jagaan berkenaan, dan susulan itu, pasangan terbabit kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” jelas Naazron.

Kes ini menjadi perhatian umum selepas aktivis sosial Firdaus Wong, melalui platform Instagramnya, mendedahkan situasi membimbangkan di pusat jagaan tersebut. Menurut Firdaus, lawatan amal yang dilakukan oleh sukarelawan dari Malaysia Fight League dan Malaysia Grappling League pada Mac lalu telah mendapati kanak-kanak dikurung, tidak diberi makan dengan baik, malah sumbangan awam tidak sampai kepada mereka.

“Kami telah membuat laporan kepada JKM pada 17 Mac diikuti laporan polis pada 18 Mac, namun tiada tindakan segera yang diambil ketika itu. Situasi yang kami saksikan amat mengejutkan dan menyedihkan,” ujar Firdaus dalam video tersebut. Susulan insiden ini, KPWKM menegaskan pihaknya akan terus memantau situasi tersebut bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terjamin. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesyaki sebarang kes penderaan kanak-kanak dinasihatkan segera melaporkannya melalui Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah terdekat.

Kes ini menekankan kepentingan penglibatan aktif masyarakat dalam melaporkan sebarang penderaan yang berlaku dalam komuniti. Ia juga menjadi peringatan bahawa kesejahteraan kanak-kanak harus sentiasa diutamakan dan dipantau secara ketat oleh pihak berkuasa serta komuniti setempat.

#Prezcom