WhatsApp Lancar Sembilan Fungsi Baharu

KUALA LUMPUR, 12 April . WhatsApp, aplikasi pemesejan terbesar di dunia, telah memperkenalkan sembilan ciri baharu bagi sembang, panggilan suara, panggilan video, serta saluran, bertujuan meningkatkan pengalaman pengguna serta bersaing dengan platform komunikasi lain seperti Telegram, Discord dan FaceTime.

Antara kemas kini utama ialah ciri penunjuk “Dalam Talian” di sembang berkumpulan yang memaparkan jumlah ahli kumpulan yang aktif pada waktu nyata. Ciri ini memudahkan pengguna mengetahui siapa yang tersedia untuk berinteraksi dengan segera.

Turut diperkenalkan ialah ciri notifikasi penting dalam sembang kumpulan, membolehkan pengguna memilih untuk menerima notifikasi khusus seperti @mention, balasan mesej, atau daripada kenalan tersimpan sahaja. Ciri ini amat membantu pengguna mengurus gangguan daripada banyak notifikasi.

Khusus buat pengguna iPhone, WhatsApp kini membolehkan pengguna mengimbas dan menghantar dokumen terus dari aplikasi. Dengan memilih pilihan “Imbas dokumen” pada menu lampiran, pengguna boleh mengimbas, memangkas (crop), dan menghantar dokumen dengan lebih cepat dan mudah tanpa meninggalkan aplikasi.

Pengguna iPhone juga kini boleh menetapkan WhatsApp sebagai aplikasi pemesejan dan panggilan lalai mereka. Pengguna hanya perlu pergi ke Tetapan pada iPhone, pilih “Aplikasi Lalai” (Default Apps), dan tetapkan WhatsApp sebagai aplikasi utama mereka.

Sementara itu, dalam panggilan video pula, pengguna iPhone kini boleh menggunakan fungsi pinch-to-zoom bagi membesarkan paparan video semasa panggilan sedang berlangsung. Fungsi ini telah lama tersedia dalam FaceTime, namun baru sahaja diperkenalkan di WhatsApp.

WhatsApp turut mempertingkatkan kualiti panggilan video dengan menaik taraf teknologi infrastruktur. Penambahbaikan ini memastikan panggilan video lebih stabil, mengurangkan isu panggilan terputus dan video tersekat-sekat, serta membolehkan kualiti video dipertingkatkan secara automatik ke tahap HD bergantung kepada kelajuan sambungan internet pengguna.

Dalam aspek pengurusan acara, WhatsApp memperkenalkan fungsi mencipta acara bukan sahaja dalam sembang berkumpulan, malah kini dalam sembang individu (1:1). Ciri tambahan turut disertakan, seperti kebolehan RSVP sebagai “mungkin”, menjemput seorang tetamu tambahan, menetapkan tarikh dan masa tamat acara, serta mengepin acara tersebut dalam perbualan untuk rujukan mudah.

Selain itu, panggilan individu juga mendapat ciri baharu iaitu pengguna boleh menambah orang ketiga secara langsung ketika panggilan sedang berlangsung dengan hanya menekan ikon panggilan di bahagian atas skrin sembang, lalu memilih “Tambah ke panggilan”.

Bagi ciri Saluran (Channels), WhatsApp memperkenalkan tiga kemas kini penting. Pertama, pentadbir saluran kini boleh merakam dan berkongsi video pendek berdurasi sehingga 60 saat kepada pengikut mereka, mirip fungsi nota suara yang telah popular sebelum ini.

Kedua, pentadbir saluran boleh menjana kod QR unik untuk menghubungkan pengguna terus ke saluran mereka, sekali gus memudahkan promosi saluran dan menarik lebih ramai pengikut baharu hanya melalui imbasan kod.

Ketiga, ciri transkrip teks bagi mesej suara dalam saluran turut diperkenalkan. Ini amat berguna bagi pengguna yang tidak berpeluang mendengar mesej suara pada masa tertentu, tetapi masih ingin mengikuti perkembangan dengan membaca transkrip mesej tersebut.

Namun begitu, tidak semua kemas kini ini diterima sepenuhnya oleh pengguna. Antara ciri kontroversi ialah pengenalan butang AI Meta di Eropah, yang tidak boleh dialih atau dipadam oleh pengguna. Butang AI Meta ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan chatbot AI, menjawab pertanyaan atau menghasilkan kandakungan tertentu. Tetapi pengguna berpendapat mereka sepatutnya diberi pilihan untuk mengalihkannya jika tidak mahu menggunakan ciri tersebut.

Satu lagi ciri yang menimbulkan sedikit kebimbangan ialah penunjuk masa nyata ahli dalam kumpulan sembang yang dianggap menambah tekanan kepada pengguna untuk segera membalas mesej, terutamanya dalam situasi pengguna sibuk atau tidak bersedia menjawab mesej pada waktu tertentu.

WhatsApp menegaskan bahawa kesemua kemas kini ini adalah untuk memastikan pengguna sentiasa mendapat pengalaman komunikasi terbaik, lebih teratur dan lancar.

Pengenalan ciri-ciri ini menunjukkan bagaimana WhatsApp berusaha menyesuaikan diri dengan kehendak pengguna moden yang memerlukan aplikasi serba guna dan fleksibel. Walau bagaimanapun, pengguna dinasihatkan sentiasa mengurus tetapan notifikasi dan privasi dengan bijak agar tidak terganggu dengan ciri-ciri baharu yang mungkin menambah tekanan atau gangguan yang tidak diingini dalam kehidupan seharian mereka.

Langkah WhatsApp memperkenalkan fungsi-fungsi ini turut memberi isyarat jelas bahawa platform komunikasi kini semakin tertumpu kepada fungsi multimedia dan integrasi kehidupan peribadi pengguna secara menyeluruh.

#Prezcom