
Kuala Lumpur, 7 April 2025.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ingin memberikan penjelasan mengenai status penyaluran sumbangan wang ihsan sebanyak RM30 juta kepada para pesawah, sebagaimana diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 13 Februari 2025.
Untuk makluman, sumbangan ini merupakan inisiatif daripada syarikat swasta iaitu Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Dana berjumlah RM30 juta ini bukanlah dana awam, sebaliknya adalah peruntukan dalaman syarikat yang tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat BERNAS sendiri.
Setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman, serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat. Maka itu, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya — seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan oleh pihak syarikat, terutama melibatkan dana berskala besar. Proses ini mengambil sedikit masa kerana perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman syarikat. Namun begitu, KPKM ingin memaklumkan bahawa dana RM30 juta telah diterima sepenuhnya daripada BERNAS pada Jumaat, 28 Mac 2025.
Sehubungan itu, KPKM telah memulakan proses pengagihan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara. Agihan sumbangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April 2025. Sebagai sebuah Kerajaan MADANI yang berpegang kepada prinsip keutamaan rakyat, pendekatan yang diambil adalah meminta syarikat swasta membantu golongan yang memerlukan seperti pesawah, dan bukan menyumbang kepada parti politik seperti yang menjadi amalan kerajaan terdahulu. Kita percaya, sokongan korporat sewajarnya disalurkan untuk manfaat rakyat, bukan kepentingan politik. KPKM amat memahami kegusaran serta harapan tinggi daripada para pesawah. Kami ingin menegaskan bahawa kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak. Kementerian juga amat menghargai kesabaran dan Kerjasama yang ditunjukkan oleh para pesawah sepanjang proses ini berlangsung.
Sumber:Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
#Prezcom