
KUALA LUMPUR, 3 April 2025 – Dua rakyat Malaysia termasuk seorang penganggur dan seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan memperdagangkan dua individu tempatan ke Myanmar bagi tujuan eksploitasi kerja. Pertuduhan ini menjadi bukti nyata betapa seriusnya jenayah pemerdagangan orang yang kini menyasarkan warganegara sendiri untuk dijadikan mangsa.
Kedua-dua tertuduh, Wong Jun Wei, 26, dan Jasper Yap En Wai, 20, didakwa memperdaya seorang lelaki dan seorang wanita untuk bekerja di Yatai, Shwekokko, Myanmar antara 15 Disember 2024 hingga 14 Februari lalu. Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes ini bukan kes terpencil. Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, sebanyak 289 kes pemerdagangan manusia telah direkodkan antara 2022 hingga 2024, melibatkan 526 tangkapan dan 992 mangsa yang berjaya diselamatkan. Pada tahun 2024 sahaja, 38 kes baharu dilaporkan dengan 59 tangkapan dan 141 mangsa diselamatkan.
Antara taktik utama sindiket adalah melalui iklan tawaran kerja palsu yang menjanjikan gaji lumayan di luar negara. Mangsa kebiasaannya dijanjikan pekerjaan dalam bidang teknologi, khidmat pelanggan atau pengurusan data, tetapi setibanya di lokasi sebenar, mereka dipaksa bekerja dalam operasi penipuan dalam talian, dijaga seperti tahanan dan dikenakan hukuman fizikal jika tidak mencapai sasaran.
Apa yang lebih merisaukan, sebahagian mangsa diselamatkan kemudian didapati menjadi sebahagian daripada sindiket – merekrut rakan-rakan sendiri untuk dijadikan mangsa baharu. Pada 17 Mac lalu, seorang lelaki yang pulang bersama 24 lagi rakyat Malaysia yang diselamatkan dari Myanmar, ditahan selepas siasatan mendapati dia merupakan individu yang merekrut mangsa untuk sindiket tersebut.
Menurut Polis Diraja Malaysia, penahanan itu dibuat selepas soal siasat berasaskan indikator Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI). Lelaki tersebut dipercayai bertindak sebagai ejen rekrut dalam kalangan komuniti tempatan.
Setakat Mac 2025, 64 rakyat Malaysia telah berjaya dibawa pulang dari kawasan Myawaddy, Myanmar melalui tiga fasa pemulangan yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri bersama Kedutaan Malaysia di Yangon dan Bangkok. Usaha ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk PDRM, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kerajaan Thailand serta pihak berkuasa Myanmar.
Isu pemerdagangan manusia kini bukan lagi hanya tentang kemiskinan atau pelarian. Ia sudah menjadi satu rangkaian jenayah transnasional yang melibatkan penipuan, penyeksaan dan manipulasi digital. Justeru itu:
- Rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja luar negara, terutama yang tidak melalui saluran rasmi atau agensi sah. Pendidikan awam tentang taktik sindiket perlu diperkasa melalui media dan komuniti.
- Kerajaan perlu memperketat penguatkuasaan dan pemantauan sempadan digital, termasuk mengesan laman web dan iklan tawaran kerja yang mencurigakan.
- Pihak berkuasa mesti mempercepat pindaan dan pelaksanaan ATIPSOM, termasuk memperkenalkan hukuman minimum mandatori terhadap ejen rekrut yang mengkhianati warganegara sendiri.
- Kerjasama serantau melalui ASEAN harus diperkukuh agar pertukaran maklumat dan operasi bersama dapat dilaksanakan secara lebih efektif, terutamanya di zon risiko tinggi seperti sempadan Thailand-Myanmar.
Jenayah ini bukan sahaja memusnahkan masa depan mangsa, tetapi juga mencemarkan nama negara. Malaysia tidak boleh lagi bertolak ansur dengan pemerdagangan manusia dalam bentuk baharu – walau siapa pun dalangnya. Rakyat perlu dilindungi bukan sahaja daripada sindiket luar, tetapi juga daripada mereka yang menjual rakan senegara sendiri demi keuntungan peribadi.
#Prezcom