
Kuala Lumpur, 31 Mac 2025
Hari ini umat Islam merayakan Aidilfitri.
Aidilfitri, yang dikenali sebagai Hari Kemenangan, merupakan perayaan istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia. Ia menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan menjadi lambang kejayaan dalam menunaikan ibadah puasa serta meningkatkan amalan kebaikan dan kebajikan.
Lebih daripada sekadar hari perayaan, Aidilfitri membawa makna mendalam sebagai simbol penyucian jiwa. Setelah sebulan mendidik diri melalui ibadah dan ketakwaan, hari yang penuh kegembiraan ini mengingatkan umat Islam untuk terus berada di landasan fitrah, iaitu kembali kepada kesucian hati dan memperkukuh keimanan. Aidilfitri juga menjadi masa untuk saling bermaafan, mempereratkan hubungan kekeluargaan, serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Madrasah Ramadan yang telah dilalui sebulan lamanya bukan sekadar mengajar umat Islam untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga sebagai satu proses penyucian diri daripada dosa serta mengukuhkan nilai-nilai keimanan. Justeru, dengan kembalinya kita kepada fitrah, adalah menjadi satu matlamat penting untuk terus beristiqamah dalam mentaati syariat serta meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat atau bercanggah dengan ajaran Islam.
Dalam kegembiraan menyambut Syawal bersama keluarga, marilah kita menghidupkan malam raya dengan laungan takbir Aidilfitri sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Semoga Aidilfitri tahun ini bukan sekadar dirayakan dengan kemeriahan, tetapi juga dihayati dengan penuh keinsafan dan ketakwaan.
#Prezcom