
KUALA LUMPUR, 30 Mac 2025 – Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara terus sesak sejak malam semalam apabila lebih 2.2 juta kenderaan direkodkan memulakan perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kesesakan dijangka berlarutan, dengan delombang kedua trafik diramalkan berlaku menjelang tengah malam ini.
Trafik mula padat sekitar jam 8 malam pada 29 Mac dan berterusan sehingga pagi ini, melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), serta Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 dan 2 (LPT1 dan LPT2). Plaza Tol Gombak antara lokasi yang mencatatkan kesesakan paling ketara.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laporan awal menjangkakan trafik harian mencecah 2.77 juta sepanjang tempoh puncak Aidilfitri yang tertinggi sejak dua tahu kebelakangan ini. Daripada jumlah itu, lebih 216,000 kenderaan dijangka menggunakan KLK, manakala lebih 200,000 lagi melalui LPT1 dan LPT2.
Ketua Unit Keselamatan Trafik PLUS, Mohd Suhairy A. Rahman Ketika dibuhungi media hari semalam memaklumkan bahawa lonjakan trafik ini telah dijangka. “Sejak semalam kita dapat lihat tren trafik dari semua arah – utara ke selatan – telah sesak. Kami menjangka gelombang kedua akan bermula lewat malam ini,” katanya kepada media.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, memandu dalam keadaan sihat dan segar, serta memastikan baki kad Touch ’n Go mencukupi bagi mengelakkan kelewatan di plaza tol.
Sementara itu di Pahang, seramai 339 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah digerakkan dalam Ops Khas Aidilfitri 2025 bermula 28 Mac hingga 8 April. Sebanyak 47 pasukan pemantauan ditugaskan di lebuh raya, jalan persekutuan, negeri serta kawasan panas kemalangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Razali Kassim, menjangkakan sekitar 3.14 juta kenderaan akan memasuki Pahang sepanjang musim perayaan ini. “Pihak JPJ tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang jalan raya,” tegas beliau.
JPJ juga akan meningkatkan pemeriksaan ke atas bas ekspres dengan menempatkan anggota di terminal utama seperti Terminal Sentral Kuantan dan Temerloh. Turut dilaksanakan ialah penyamaran sebagai penumpang bas bagi memantau kelakuan pemandu dan memastikan pematuhan peraturan.
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menyokong pelaksanaan Ops Selamat Bersepadu, sejajar dengan usaha meningkatkan kesedaran dan penguatkuasaan sempena cuti perayaan. Dalam suasana sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan bijak, mematuhi jadual waktu cadangan, dan memastikan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. “Perjalanan pulang ke kampung bukan sekadar rutin tahunan, tetapi sebuah harapan untuk bertemu keluarga tersayang dalam keadaan selamat dan penuh makna.”
#Prezcom