
KUALA LUMPUR, 30 Mac 2025 – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai tokoh bahasa tanah air tampil menyuarakan kebimbangan terhadap trend penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan, program anjuran agensi awam, dan kempen peringkat nasional. Bagi mereka, kecenderungan ini bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah dianggap bertentangan dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan terbaru, Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari menegaskan bahawa keutamaan kepada bahasa Inggeris dalam penamaan program dan kempen rasmi kerajaan menunjukkan sikap tidak menghormati Akta Bahasa Kebangsaan serta pelembagaan. “Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara, dan penggunaannya dalam urusan rasmi mencerminkan kedaulatan identiti nasional,” katanya.
Isu ini tercetus susulan penggunaan frasa bahasa Inggeris dalam program seperti ‘Car-Free Morning’ oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan ‘Rahmah Madani Back to School’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Bekas Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abg Shokeran, menyokong pandangan DBP bahawa penjenamaan program sebegitu wajar menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, contohnya ‘Pagi Tanpa Kenderaan’ dan ‘Balik ke Sekolah’.
Teguran ini menerima reaksi pelbagai. Ada yang mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris atas dasar ‘keperluan global’ termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ramon Navaratnam. Mereka berpandangan bahawa bahasa Inggeris penting untuk komunikasi dan akses ilmu pengetahuan.
Namun begitu, tokoh bahasa dan akademik menyifatkan kecenderungan ini sebagai satu anjakan budaya yang membahayakan masa depan bahasa Melayu. Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong memberi amaran bahawa “penggunaan bahasa lain secara berleluasa dalam acara formal akan menjadikan bahasa Melayu pupus secara perlahan – bukan kerana hilang, tetapi kerana dilupakan.”
Pemerhatian umum mendapati banyak program rasmi anjuran GLC, kementerian dan universiti awam cenderung menggunakan frasa Inggeris sepenuhnya – bukan sahaja dalam nama program, malah dalam persembahan slaid, notis, dan surat rasmi. Bukan itu sahaja, masih terdapat mesyuarat dalaman kementerian yang dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, walaupun melibatkan pegawai tempatan.
Presiden Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, menyatakan bahawa pematuhan terhadap Perkara 152 (6) dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 amat longgar. “Agensi kerajaan sepatutnya menjadi teladan kepada sektor swasta dalam memperkasa bahasa Melayu. Malangnya, mereka sendiri masih ragu-ragu dalam pelaksanaannya,” tegas beliau.
Lebih menyedihkan, kata beliau, papan tanda, bahan promosi dan notis awam masih banyak yang tidak mematuhi keperluan bahasa rasmi. Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf, turut menambah bahawa surat rasmi dan notis perlu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, dan bukan diselang-selikan dengan istilah Inggeris yang tidak perlu.
Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi bukan isu nostalgia, tetapi persoalan kedaulatan budaya dan kehormatan kepada Perlembagaan. Negara memerlukan garis panduan tegas dan pemantauan sistematik, bukan hanya teguran bermusim.
Langkah-langkah berikut dicadangkan:
- Pelaksanaan ketat Dasar Bahasa Kebangsaan dengan indikator pematuhan oleh setiap kementerian dan agensi.
- Pemantauan dan penguatkuasaan oleh DBP dan JPA dengan laporan awam tahunan.
- Kursus pemantapan bahasa Melayu untuk penjawat awam termasuk GLC dan agensi sokongan.
- Penyediaan bahan dwi-bahasa hanya apabila perlu, dan bukan atas alasan kecenderungan.
Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wadah penyatuan dan lambang martabat bangsa. Jika negara lain seperti Perancis, Jepun dan Korea begitu bangga dengan bahasa ibunda mereka dalam semua urusan rasmi, mengapa Malaysia perlu berdolak-dalik?
Bahasa Melayu hanya akan dimuliakan jika dimartabatkan. Ia hanya akan hidup jika kita sendiri tidak meminggirkannya.
#Prezcom