
Oleh: Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari
Catatan Peribadi: Mengapa Saya Menulis Tentang Palestin
Ia bermula dengan satu imej – seorang kanak-kanak Palestin dengan mata yang penuh pertanyaan, menatap runtuhan rumahnya. Imej itu menghantui saya selama sekian lama dan akhirnya mendorong saya untuk menulis kisah yang terlalu lama dibungkam.
Sebagai seorang sukarelawan media, saya telah melihat pelbagai konflik, tetapi tiada yang menggetarkan jiwa seperti kisah Palestin. Bukan sekadar berita, ia adalah tragedi kemanusiaan yang berlaku di depan mata dunia, namun dunia terus berpura-pura pekak dan buta.
Enam artikel ini bukan sekadar laporan. Ia adalah perjalanan peribadi saya untuk memahami, mendedahkan, dan mendokumentasikan sejarah yang kejam ini. Setiap artikel adalah satu usaha untuk membuka mata pembaca, untuk menunjukkan bahawa di sebalik statistik dan berita singkat, terdapat nyawa manusia yang dimusnahkan.
Saya menulis kerana saya percaya pada kuasa kebenaran. Kebenaran yang tidak boleh dikongkong oleh propaganda, tidak boleh dibungkam oleh kuasa politik, dan tidak boleh dipesongkan oleh media yang berat sebelah.
Dalam perjalanan membuat siri artikel ini, saya telah membaca ribuan artikel dari sumber rujukan yang sahih dan menyaksikan sendiri pendertaan rakyat Palestin dari dokumentari dan perkongsian video oleh petugas-petugas sukarelawan kemanusiaan yang turun padang membantu mangsa. Kisah-kisah penderitaan rakyat Palestin membakar semangat saya untuk terus menulis.
Kisah seorang nenek yang masih menyimpan kunci rumahnya yang dirampas 70 tahun lalu. Kisah seorang bapa yang kehilangan enam anaknya dalam satu serangan. Kisah seorang kanak-kanak yang bermimpi akan kebebasan dan pelbagai lagi kisah-kisah yang hanya boleh dikisahkan dengan air mata. Saya menulis untuk mereka. Untuk mengembalikan maruah mereka. Untuk menunjukkan bahawa sejarah tidak boleh ditulis oleh pemenang sahaja, tetapi oleh mereka yang memperjuangkan keadilan.
Artikel-artikel ini akan membawa anda meneroka perjalanan panjang pendudukan – dari akar-akar gerakan Zionis sehinggalah kepada tragedi moden di Gaza. Ia akan mendedahkan bagaimana kuasa kolonial, kepentingan politik, dan ketidakadilan antarabangsa telah merancang dan mengekalkan penindasan ke atas rakyat Palestin.
Saya tidak mempunyai agenda tersembunyi. Saya hanya mempunyai satu hasrat: mendedahkan kebenaran. Kebenaran yang memerlukan keberanian untuk ditulis, keberanian untuk dibaca, dan keberanian untuk difahami.
Selamat membaca dan mengharungi bersama perjalanan ini.
Semoga ia membuka mata dan hati anda.
Siri 1: Zionisme, Mandat British, dan Akar Penjajahan Palestin (1900–1939)
Pada awal abad ke-20, Palestin bukan sekadar sebuah wilayah biasa di bawah Empayar Uthmaniyyah. Ia adalah tanah warisan yang didiami oleh masyarakat Arab Muslim, Kristian dan Yahudi yang hidup secara bersama sejak berabad lamanya. Namun, keadaan ini berubah secara drastik apabila agenda penjajahan moden mula mengakar melalui gerakan Zionisme yang ditaja oleh kuasa imperialis.
Gerakan Zionisme yang diasaskan oleh Theodor Herzl pada akhir abad ke-19 menanam hasrat untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi moden di Palestin. Keinginan ini mendapat sokongan rasmi apabila Britain mengumumkan Deklarasi Balfour pada tahun 1917 – satu janji kolonial kepada bangsa yang tidak memiliki tanah, ke atas tanah yang bukan milik Britain, dan tanpa persetujuan penduduk asal. Dalam surat itu, Setiausaha Luar British Arthur Balfour menyatakan sokongan kerajaan kepada pembentukan “tanah air nasional bagi orang Yahudi” di Palestin, sambil secara kabur menyebut bahawa tidak akan menjejaskan hak masyarakat bukan-Yahudi di situ. Ironinya, komuniti bukan-Yahudi yang dimaksudkan merupakan lebih 90% daripada penduduk Palestin ketika itu.
Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama dan keruntuhan Empayar Uthmaniyyah, mandat ke atas Palestin diberikan kepada Britain oleh Liga Bangsa-Bangsa pada tahun 1922. Sejak itu, imigrasi Yahudi dari Eropah meningkat secara mendadak. Gerakan Zionis mula membeli tanah melalui agensi seperti Tabung Kebangsaan Yahudi. Walaupun hanya memiliki sekitar 6% tanah Palestin menjelang tahun 1947, mereka telah membuka banyak penempatan eksklusif untuk Yahudi dan meminggirkan masyarakat Arab Palestin.
Kedatangan pendatang ini tidak sekadar mengubah demografi, malah mula mencetuskan konflik yang semakin parah. Wujud perasaan kehilangan tanah dan maruah dalam kalangan penduduk Arab Palestin. Ini membawa kepada kebangkitan besar – Pemberontakan Arab 1936–1939 – yang menuntut pengakhiran kepada imigrasi Yahudi dan pengiktirafan hak Palestin untuk merdeka. Mogok besar-besaran dan tindakan bersenjata mewarnai pemberontakan ini.
Namun, seperti yang lazim dalam sejarah kolonial, suara rakyat ditindas. British mengerahkan lebih 20,000 askar tambahan, bekerjasama dengan milisi Zionis, menumpaskan pemberontakan secara brutal. Ribuan penduduk Palestin terbunuh, ditahan, dan dipenjara. Kepimpinan politik mereka dihancurkan, dan masyarakatnya dilemahkan menjelang peristiwa yang lebih tragik selepas ini.
Tokoh seperti Mahatma Gandhi menyuarakan kecaman. Beliau dengan lantang menyebut bahawa Palestin adalah milik orang Arab sebagaimana England milik orang Inggeris. Tetapi suara moral seperti ini tenggelam dalam percaturan geopolitik kolonial.
Ts. Megat Zainurul Anuar Bin Megat Johari
———–
Disclaimer:
Penulis | Penggerak Sosial | Innovator
Dengan keyakinan bahawa kata-kata mampu mengubah dunia, Ts. Megat Zainurul Anuar membina jambatan antara profesionalisme dan kemanusiaan. Dengan latar belakang Sarjana Sains dalam Pengurusan Maklumat dan pengalaman lebih 20 tahun membimbing syarikat utama Malaysia, beliau telah memilih pen sebagai instrumen perubaannya.
Sebagai Business Coach dan Certified National Competency Standard Trainer, Megat telah membantu banyak syarikat korporat dan agensi kerajaan di Malaysia seperti Sime Darby, Coway Malaysia, INTAN(Institut Tadbiran Awam Malaysia), MAMPU (Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan banyak lagi. Namun, pencapaian terbesarnya terletak pada program SAY LEAD PRO MALAYSIA, di mana beliau memberdayakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah inspirasi DYTM, Tengku Amir Shah.
Megat percaya setiap naratif mempunyai kuasa untuk membuka minda dan menyentuh hati. Melalui penulisannya, beliau berjuang mendedahkan kebenaran, mencabar status quo, dan menyuarakan mereka yang tidak bersuara.
“Perubahan bermula dengan keberanian untuk melihat, memahami, dan bertindak.”
———–
Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.
#Prezcom