
Kuala Lumpur, 29 Mac 2025.
Selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan akses bekalan elektrik hijau di Malaysia sebagai tarikan kepada pelaburan bernilai tinggi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperkenalkan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM). Program ini yang dilaksanakan menerusi mekanisme agregasi solar di bumbung bangunan akan membolehkan penggabungan ruang bumbung premis kediaman untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna hijau setempat dilakukan.
Sebagai panduan dan kawal selia kepada pihak industri dan pihak berkepentingan, Suruhanjaya Tenaga telah menyediakan Garis Panduan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism.
Pelaksanaan Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan ia membenarkan penyertaan komuniti setempat dalam usaha peralihan tenaga berdasarkan konsep akses grid terbuka, dengan ketetapan seperti berikut:
a. aktiviti penjana TBB dan pembekalan elektrik hijau hanya boleh dilaksanakan di perinatal pengagihan dan penyaluran bekalan elektrik hijau kepada pengguna hijau setempat menerusi system rangkaian pengagihan milik pihak utiliti iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB);
b. agregasi ruang bumbung bangunan untuk penjanaan solar boleh dilakukan oleh penjana TBB setempat berpandukan kepada perundangan dan peraturan lain yang berkuatkuasa; dan
c. penjualan tenaga elektrik hijau daripada penjana solar setempat kepada pengguna komersial dan domestik yang berhasrat mendapatkan bekalan elektrik hijau dibenarkan dalam radius 5km.
Mengambil kira bahawa pelaksanaan program agregasi bumbung bagi pembangunan sistem jana kuasa solar PV julung kali diperkenalkan di negara ini, Program CREAM ini akan dilaksanakan dengan terma dan syarat seperti berikut:
a. Penjana TBB Setempat (PTS) perlu membangunkan system jana kuasa solar PV di bumbung premis kediaman yang telah diagregasi;
b. PTS perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengendalikan urusan pajakan bumbung dengan pemilik rumah untuk diagregasikan bagi pembangunan sistem jana kuasa solar PV;
c. Pengguna Hijau Setempat (PHS) yang membeli bekalan hijau daripada PTS adalah terbuka kepada mana-mana kategori pengguna yang berada dalam lingkungan jarak 5km radius daripada sumber penjanaan;
d. Pembekalan daripada PTS kepada PHS perlu dilakukan menerusi kongfigurasi penyambungan secara langsung (direct connection) melalui sistem rangkaian pengagihan syarikat utiliti, bagi memastikan pembekalan dan permintaan bekalan elektrik yang teratur serta perancangan bekalan elektrik yang menyeluruh; dan
e. bagi meningkatkan kestabilan sistem dan meminimumkan gangguan kepada sistem pembekalan ekoran peningkatan kapasiti penjanaan daripada sumber solar yang intermittent,pihak syarikat utiliti akan membangunkan penyelesaian pengimbangan pembekalan setempat (localised supply balancing solutions).
Program CREAM menyediakan opsyen baharu bagi bekalan elektrik hijau kepada pengguna untuk memenuhi komitmen environmental, social and governance (ESG) dalam aspek penggunaan bekalan elektrik hijau. Selain itu, pelaksanaannya berdasarkan prinsip akses grid terbuka akan memastikan program ini adalah bersifat kos neutral kepada system pembekalan elektrik dan tidak akan memberikan implikasi kenaikan tarif kepada pengguna elektrik secara umum.
Ketetapan berkaitan pelaksanaan program ini akan diperincikan dalam Garis Panduan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism yang boleh diakses mulai 28 Mac 2025 dan boleh dimuat turun melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.
PETRA yakin pelaksanaan program CREAM berupaya untuk memangkin pembangunan serta usaha peralihan tenaga sektor bekalan elektrik, terutamanya untuk meningkatkan campuran kapasiti TBB kepada 40% menjelang tahun 2035 dan 70% pada tahun 2050
SUMBER: Jabatan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negara
#Prezcom