SIARAN MEDIA – ADUAN PENIPUAN DALAM TALIAN PERAS UGUT KELUARGA KLIEN DENGAN BAYARAN SEJUMLAH WANG

KAJANG, 29 MAC 2025 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai
AADK dengan bertindak memeras ugut keluarga klien yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di AADK dengan suatu bayaran tertentu bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas. Sehingga hari ini, AADK mengesan dua kes melibatkan panggilan telefon dan e-mel secara terus dengan keluarga klien.

Sehubungan itu, AADK ingin memberi peringatan kepada orang ramai mengenai modus operandi baharu penipuan dalam talian yang menyasarkan keluarga dan penjaga klien AADK dengan menyamar sebagai pegawai AADK ibu pejabat untuk mendapatkan wang ringgit.

Bagaimanapun tiada mangsa penipuan dilaporkan setakat ini memandangkan semua mangsa terus merujuk Pusat Gerakan Hotlien (PGH) AADK untuk mendapatkan pengesahan.

AADK komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan klien serta keluarga atau penjaga daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian. Orang ramai juga diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik licik penipuan yang menyalahguna nama AADK untuk kepentingan peribadi.

SUMBER: Jabatan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negara

#Prezcom