
PUTRAJAYA, 27 Mac 2025 – Jabatan Perikanan Malaysia ingin memaklumkan bahawa ikan tuna neritik, termasuk ikan aya atau tongkol, telah dimasukkan ke dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Langkah ini bertujuan memastikan kestabilan harga dan ketersediaan bekalan ikan di pasaran, khususnya menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan.
Di bawah inisiatif ini, harga maksimum bagi ikan aya/tongkol bersaiz 1-2 ekor sekilogram telah ditetapkan di negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Selain itu, beberapa hasil laut lain turut dikawal harganya, antaranya ikan demudok/sagai/cermin/cupak (3-5 ekor sekilogram) di Sabah, ikan kembung termasuk ikan mabung (8-12 ekor sekilogram) di seluruh negara, serta ikan selayang (8-12 ekor sekilogram) yang juga tertakluk kepada kawalan harga di seluruh negara.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia melaporkan peningkatan ketara dalam pendaratan tuna neritik bagi tahun 2024, dengan jumlah pendaratan di seluruh negara dianggarkan sebanyak 63,780.32 tan metrik bernilai lebih RM781.3 juta. Angka ini menunjukkan pertumbuhan positif dalam sektor perikanan negara berbanding tahun 2023 yang merekodkan pendaratan sebanyak 55,222.67 tan metrik. Negeri Perak muncul sebagai pengeluar utama tuna neritik pada tahun ini dengan pendaratan sebanyak 16,933.90 tan metrik bernilai sekitar RM207.4 juta, diikuti oleh Sabah dengan jumlah pendaratan sebanyak 12,479.22 tan metrik bernilai RM152.9 juta.
Menurut Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan Hussain, “Jabatan Perikanan komited dalam memastikan kestabilan harga dan bekalan ikan di pasaran, khususnya semasa musim perayaan. Peningkatan pendaratan tuna neritik, termasuk ikan tongkol, adalah bukti usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kelangsungan industri perikanan negara dan kestabilan harga untuk kesejahteraan rakyat.” Jabatan Perikanan Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memantau bekalan serta pendaratan ikan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara.
Usaha pengawalan harga dan pemantauan pendaratan ini diharapkan dapat membantu menstabilkan harga ikan di pasaran serta menjamin bekalan yang mencukupi untuk pengguna. Orang ramai dinasihatkan agar merancang pembelian dengan bijak serta menyokong inisiatif kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga barangan keperluan utama.
Sumber
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia
#Prezcom