
KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025.
Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
2. Pemberian diskaun tol ini akan dilaksanakan bermula dari jam 12.01 tengah malam 28 Mac 2025 (Jumaat) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 29 Mac 2025 (Sabtu). 3. Implikasi kewangan yang ditanggung oleh Kerajaan MADANI dianggarkan
sebanyak RM19.69juta sebagai bayaran pampasan kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat. 4. Diskaun tol ini akan diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
5. Pemberian diskaun tol ini yang merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023, adalah selaras dengan
teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
6. Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.
7. Semoga pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan melalui panduan berikut:
a. Mengikut jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) oleh syarikat konsesi lebuhraya;
b. Memastikan kenderaan dalam keadaan baik;
c. Memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi;
d. Memastikan bateri smart-tag yang mencukupi;
e. Menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) https://www.llm.gov.my mengenai keadaan lebuhraya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan;
f. Menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan semasa di lebuh raya; dan
g. Menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala
8. Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan syarikat konsesi lebuh raya menyeru pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan, serta berehat jika letih atau mengantuk. Marilah kita bersama
menjaga keselamatan, kebersihan, dan keselesaan lebuh raya serta mengurangkan kemalangan.
Sumber:Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
#Prezcom