
Kerajaan MADANI dengan sukacitanya memaklumkan bahawa pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April 2025 — peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.
Penerima yang layak akan menerima bantuan SARA sehingga RM2,100 secara keseluruhan pada tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun 2024 iaitu peningkatan 75% daripada tahun lepas. Bantuan ini akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Peluasan tersebut merupakan sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun 2025 — jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai Kerajaan kepada rakyat.

“SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. 5.4 juta penerima ini adalah terdiri daripada:
- 700,000 penerima SARA sedia ada di dalam rekod eKasih yang telah menerima SARA sejak Januari 2025. Mulai 1 April 2025, mereka akan menerima bantuan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah.
4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada yang tidak berada di dalam rekod eKasih. Mulai 1 April 2025, mereka akan menerima bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan, dan RM100 sebulan untuk isi rumah.
Mulai tahun 2025, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berbanding hanya di negeri- negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024. Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.
Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barangan keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barangan makanan asas. Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my
Sumber:
Kementerian Kewangan
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negara
#Prezcom