
Kuala Lumpur, 25 Mac 2025.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis AIDS Malaysia menyeru kepada pendekatan menyeluruh dan berasaskan empati dalam menangani peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan lelaki muda berumur antara 20 hingga 39 tahun. Seruan ini dibuat susulan kebimbangan terhadap perubahan pola tingkah laku sosial, peralihan kaedah penularan, serta stigma berterusan terhadap komuniti Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, ketika berucap di Dewan Negara baru-baru ini, menyuarakan kebimbangan terhadap trend pemikiran ‘You Only Live Once’ (YOLO) dalam kalangan belia yang dilihat mendorong kepada tingkah laku berisiko termasuk hubungan sejenis dan amalan seksual bebas. Menurut data terkini dari Pendaftaran AIDS Kebangsaan (NAR) 2024, sebanyak 90 peratus kes HIV melibatkan lelaki, dan 75 peratus daripadanya adalah dalam kalangan individu berumur 20 hingga 39 tahun. Selangor mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi, diikuti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.
Beliau turut mengulas bahawa trend global dan penggunaan media sosial secara bebas telah memudahkan perhubungan antara individu berisiko tinggi tanpa kawalan efektif. “Ini bukan lagi isu kesihatan awam semata-mata, tetapi juga merupakan isu generasi,” katanya.
Walaupun Malaysia mencatatkan penurunan kes HIV dari 6,978 pada tahun 2002 kepada 3,185 kes pada tahun 2023, beliau menegaskan bahawa usaha pencegahan perlu diteruskan dengan lebih agresif. Program Pencegahan Pra-Pendedahan (PrEP) yang dilaksanakan KKM terbukti 99 peratus berkesan dalam mencegah penularan HIV melalui hubungan seksual. Namun, masih wujud tentangan daripada sesetengah pihak terhadap pelaksanaan kaedah ini, walaupun ia merupakan antara solusi terbaik yang ada pada masa ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis AIDS Malaysia (MAC) menekankan pentingnya pemberitaan yang bertanggungjawab oleh media dalam menangani stigma terhadap ‘Orang Yang Hidup Dengan HIV ( PLHIV)’. Dalam kenyataan media bertarikh 16 Mac, MAC menyatakan kekesalan terhadap laporan media yang mengaitkan PLHIV secara tidak adil dengan kes jenayah seksual di Temerloh baru-baru ini.
“Tajuk sensasi sebegini bukan sahaja membentuk stereotaip negatif, malah turut menghakis empati masyarakat terhadap komuniti PLHIV,” ujar Presiden MAC, Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah bin Raja Azwa.
Tambah beliau, “Penerimaan terhadap PLHIV tanpa prejudis adalah asas utama untuk membentuk masyarakat bebas stigma. Dengan membuang stereotaip dan memupuk budaya empati, kita dapat menggalakkan lebih ramai individu tampil untuk menjalani ujian, mendapatkan rawatan dan sokongan.”
Menurut Laporan Jabatan Advokasi MAC bagi tahun 2024, lebih daripada 40 insiden diskriminasi telah dilaporkan di tempat kerja, institusi pendidikan dan juga fasiliti kesihatan. Jumlah ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada kes-kes sebenar yang kebanyakannya tidak dilaporkan kerana ketakutan terhadap penghakiman atau hukuman.
Sebagai langkah proaktif, MAC akan menganjurkan Bengkel Pemekaan Media HIV/AIDS Kebangsaan pada bulan Jun ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Sime Darby. Bengkel ini bertujuan melatih pengamal media agar melaporkan isu HIV secara lebih bertanggungjawab dan beretika. Editor dan wartawan yang berminat boleh menghubungi communications@mac.org.my atau terus berhubung dengan Azahemy (016-646 5874) atau Zahra (010-292 5162).
Sementara itu, Malaysia kekal komited dengan misi global untuk Menamatkan AIDS menjelang 2030, menerusi Pelan Strategik Kebangsaan untuk Menamatkan AIDS (NSPEA) 2016–2030. Pelan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyasarkan “sifar jangkitan baharu, sifar diskriminasi dan sifar kematian berkaitan AIDS.”
Empat strategi utama NSPEA termasuk:
- Memperluas akses kepada ujian dan rawatan;
- Mempertingkatkan pencegahan dalam kalangan populasi utama (penagih dadah suntikan, pekerja seks wanita, individu transgender, dan lelaki yang melakukan seks dengan lelaki);
- Mengurangkan stigma dan diskriminasi;
- Mengukuhkan dasar berasaskan data melalui pemantauan, penyelidikan dan penilaian impak.
Namun begitu, cabaran terbesar adalah kekurangan data tingkah laku yang konsisten di seluruh negara. Justeru, Kajian Bio-Tingkah Laku Bersepadu (Integrated Bio-Behavioral Survey – IBBS) yang mula dilaksanakan pada 2009 perlu diteruskan dan diperluas. Kajian ini penting untuk menjejak pola risiko dan membentuk dasar pencegahan yang lebih tepat.
Melihat kepada perubahan demografi dan tingkah laku sosial yang semakin kompleks, para pakar bersetuju bahawa empati, dasar berasaskan bukti, serta komunikasi beretika adalah senjata paling berkesan untuk Malaysia dalam membendung wabak HIV.
Sumber: Majlis AIDS Malaysia
#Prezcom