17 penerima Tabung Bantuan Seni (TBS)

Kuala Lumpur, 25/3/2025

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara hari ini mengumumkan senarai 17 penerima Tabung Bantuan Seni (TBS) Bilangan 1 Tahun 2025, sebagai tanda sokongan padu kerajaan terhadap pembangunan seni visual yang inklusif dan bertaraf antarabangsa. Inisiatif ini memberi ruang kepada penggiat seni tanah air untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berimpak tinggi di dalam dan luar negara.

Tabung ini menjadi wahana penting dalam memperkukuh ekosistem seni visual negara melalui pemerkasaan jaringan kreatif, pembinaan kapasiti serta penggalakan keterlibatan komuniti seni secara aktif dan berterusan. Ia turut menyumbang kepada peningkatan keterlihatan seni Malaysia di persada dunia, selari dengan matlamat menjadikan negara sebagai hab seni serantau.

Daripada 44 permohonan yang diterima tahun ini, sebanyak 17 projek telah diluluskan oleh Panel Penilai TBS berdasarkan merit, impak dan potensi pembangunan seni.

Senarai Penerima Tabung Bantuan Seni 2025:

  1. Azman Md Nor (TIGAZI Creative Resources) – Pertandingan Plein Air, bengkel dan diskusi warisan seni di Kg. Raja & Kuala Besut, Terengganu.

  2. Chan Lai Keen (Janiz Chan) – Pameran solo bersempena Bulan Wanita Sedunia di Cebu, Filipina.

  3. Ivan Lam Wai Hoe – Residensi seni di International Studio & Curatorial Program, Brooklyn.

  4. Seet Boon Kiat (James Seet) – Penyertaan dalam The Wedge: The Australian Ceramics Triennale 2025.

  5. Mat Ramli Mansor – Pameran lakaran potret ekspresi diri dan puisi.

  6. Kasat Arca (Mohamad Kasat Bujang Narawi) – Pembikinan arca Manang Tetaw dari logam terpakai di Kuala Tatau, Bintulu.

  7. Abu Zaki Hadri – Penyertaan dalam Asia International Art Exchange Exhibition 2025, Taiwan.

  8. Fauzan Fuad – Program residensi di Rimbun Dahan 2025.

  9. Muhammad Ariff Ismail – Pembinaan pintu gerbang artistik di Kampung Nour Imam & Kampung Seberang Jaya, Bintulu.

  10. Kapallorek Artspace (Fadly Sabran & Heidhr Hamdan) – Penyertaan dalam Asia Pacific Moving Image Festival di Busan, Korea Selatan.

  11. Studio Ants Enterprise (Hashim Man) – Program seni bersama komuniti “Moh Menyeni Anjung Tanjung”.

  12. Mohamad Hafiz Yahaya1st International Art Exhibition and Seminar on Cross-Culture 2025, Jepun.

  13. Mohd Amir Lutfi Mohd Fitri – Projek Street Art “Spektrum Graffiti Jam” di Kuching.

  14. Chamology Art Studio (Mohamad Hisham Muhammad) – Penyertaan dalam “Meeting of Styles Germany 2025”.

  15. Amir Hamzah Al-Hafiz Mohd Yunus – Projek Art Toy “Ribbit The Toy”.

  16. Mohamad Faizuan Mat – Projek ko-kreasi seni “ke-DIAM-an”.

  17. Nooraznah Hanim Mohd Noor (Xeem Noor) – Program residensi di Koganecho, Yokohama, Jepun.

Inisiatif ini mencerminkan iltizam berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem seni yang progresif dan mampan, sambil memastikan penggiat seni tempatan diberi peluang yang adil untuk berkembang serta mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Balai Seni Negara mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima yang terpilih. Semoga setiap projek yang dilaksanakan bukan sahaja memperkaya nilai seni negara, malah menyatukan komuniti dan menginspirasi generasi baharu penggiat seni.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my.

Sumber:
Unit Komunikasi Korporat, Balai Seni Negara
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negara

#Prezcom