SIARAN MEDIA -PARLIMEN MALAYSIA KEMBALI BEBAS DAN MEMPEROLEHI AUTONOMINYA SEMULA SELEPAS 33 TAHUN APABILA KEDUA-DUA DEWAN PARLIMEN MELULUSKANNYA

PUTRAJAYA, 20 Mac 2025 – Setelah Dewan Rakyat mencipta sejarah dengan mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen pada 5 Mac yang lalu, akhirnya pada hari ini akta tersebut dapat direalisasikan dan dikembalikan apabila Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dengan turut meperoleh dua pertiga majoriti. Ianya selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI bagi memperkasakan institusi Parlimen dan mengembalikan autonominya
selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen. Sama seperti Dewan Rakyat, terdahulu, pada sebelah tengah harinya juga turut meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang berbangkit daripada penggubalan RUU ini dengan 46 undian atau dua pertiga majoriti dewan.

Tentunya hari ini merupakan satu lagi peristiwa yang amat bermakna dalam lipatan sejarah perjalanan institusi Parlimen Malaysia kerana akhirnya setelah 33 tahun ianya dimansuhkan, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpegang kukuh kepada komitmen agenda reformasi untuk mengembalikan semula kebebasan perkhidmatan Parlimen Malaysia. Akta ini pertama kali diperkenalkan oleh Perdana Menteri Pertama, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada tahun 1963, tetapi kemudiannya dimansuhkan pada tahun 1992.

Tujuannya adalah untuk memastikan Parlimen yang merupakan badan tertinggi negara untuk menggubal undang-undang dapat beroperasi secara bebas, profesional, dan berautonomi, sejajar dengan prinsip pemisahan kuasa sebenar antara badan perundangan, eksekutif, dan kehakiman dengan menentukan tadbir urus perkhidmatan mereka sendiri serta mengurus aspek kewangan dan hal-hal pentadbirannya secara bebas. Selain itu, pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan dua pertiga majoriti dewan pula bertujuan memperkukuhkan dasar-dasar yang menyokong ketelusan, kebertanggungjawaban dan keseimbangan kuasa antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Sesungguhnya, kelulusan RUU Perkhidmatan Parlimen di kedua-dua Dewan Parlimen pada sidang kali ini membuktikan komitmen setiap Ahli Parlimen untuk melihat reformasi ke arah penambahbaikan terus dilaksanakan. Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada YAB Perdana Menteri atas kesediaan beliau selaku Ketua Majlis untuk membuat perubahan besar dalam landskap perundangan, demi kesejahteraan negara.

Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Jemaah Menteri, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Peguam Negara, semua Ahli Parlimen kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, mantan-mantan Yang di-Pertua kedua-dua Dewan Parlimen, YBhg. Datuk Ketua Pentadbir Parlimen, YBhg. Datuk Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berserta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dan semua pihak berkepentingan atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam merealisasikan Akta ini.

Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan institusi Parlimen, malah menjadi asas penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih demokratik dan progresif. Kejayaan ini merupakan bukti nyata iltizam Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi dan undang-undang secara menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus negara serta memastikan perubahan yang dibawa memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Sumber: Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK), Jabatan Penerangan Malaysia

#Prezcom