
KUALA LUMPUR, 19 Mac 2025 – Kerajaan Malaysia secara rasmi telah bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian bersama syarikat Ocean Infinity dari United Kingdom bagi meneruskan operasi pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 2014. Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, menandakan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengesan bangkai pesawat dan memberikan penutupan kepada keluarga mangsa.
Dengan kelulusan ini, Kementerian Pengangkutan akan bertindak mewakili Kerajaan dalam menandatangani perjanjian rasmi bersama Ocean Infinity. Pencarian akan difokuskan di lokasi baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi, berdasarkan prinsip “no find, no fee”.
Di bawah prinsip ini, Kerajaan Malaysia tidak akan menanggung sebarang kos sekiranya bangkai pesawat tidak ditemui. Namun, sekiranya pencarian berjaya, Ocean Infinity akan menerima bayaran sebanyak USD70 juta sebagai ganjaran atas kejayaan tersebut.
Langkah ini menegaskan kesungguhan Kerajaan dalam menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370 serta memberikan kejelasan kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang telah menanti kepastian selama lebih sedekad. Operasi pencarian dijangka dimulakan dalam masa terdekat dengan teknologi pencarian dasar laut terkini yang dibangunkan oleh Ocean Infinity.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia (DMedia)
#Prezcom