Hospital di Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 404 korban jiwa dengan 562 lagi cedera

NIBONG TEBAL, 19 Mac 2025 – Malaysia dengan tegas mengecam serangan terbaharu Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 400 rakyat Palestin dan mencederakan ratusan yang lain. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Malaysia akan terus mengangkat bantahan melalui pelbagai saluran diplomasi termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

“Kita akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan dan kebajikan kepada rakyat Palestin di mana yang boleh. Serangan yang berlaku ini telah berlarutan lebih setahun setengah walaupun usaha damai dilakukan. Namun, kita tidak hanya bersetuju dengan gencatan senjata sementara – kita mahukan penamatan penuh terhadap kekejaman yang menimpa rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak di Gaza,” kata beliau selepas menghadiri majlis Iftar MADANI peringkat negeri Pulau Pinang.

Anwar turut menyifatkan serangan ini sebagai bukti bahawa sistem keselamatan global telah gagal apabila keganasan terus dibiarkan berlaku tanpa tindakan tegas oleh kuasa dunia. “Sungguh menyedihkan, terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini, tiada langsung rasa perikemanusiaan,” tambah beliau.

Menurut laporan Anadolu Agency, serangan Israel yang berlaku pada pagi Selasa telah menyasarkan beberapa kawasan di Gaza, termasuk Khan Younis dan Rafah di selatan, Gaza City di utara, serta kawasan tengah seperti Deir el-Balah. Hospital di Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 404 korban jiwa dengan 562 lagi cedera. Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan bahawa jumlah korban masih boleh meningkat kerana ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.

Hamas menyifatkan serangan ini sebagai satu bentuk pembatalan sepihak terhadap gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak 19 Januari. “Kerajaan ekstremis Netanyahu telah memilih untuk membatalkan perjanjian damai dan meletakkan tahanan di Gaza dalam bahaya yang tidak menentu,” menurut kenyataan Hamas. Pergerakan itu turut menyeru negara-negara Arab, Islam, dan komuniti antarabangsa untuk mengadakan protes besar-besaran terhadap serangan ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan tindakan ketenteraan yang lebih agresif terhadap Hamas atas alasan bahawa kumpulan itu enggan membebaskan tahanan yang diambil dari Israel. “Israel kini akan bertindak dengan kekuatan ketenteraan yang semakin meningkat terhadap Hamas,” menurut pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan rasmi.

Tentera Israel dalam satu kenyataan di Telegram mendakwa bahawa serangan mereka tertumpu kepada sasaran ‘pengganas’ milik Hamas. Namun, saksi di Gaza melaporkan bahawa serangan itu turut menyasarkan kawasan kediaman, sekolah sementara, dan bangunan perlindungan yang menempatkan ribuan penduduk awam.

Menurut laporan wartawan Al Jazeera di Deir el-Balah, beberapa bayi baru lahir, kanak-kanak, wanita, dan warga emas termasuk dalam senarai korban. “Kami mendengar bunyi dron dan jet pejuang Israel memenuhi ruang udara, dan beberapa serangan telah mengorbankan anggota keluarga secara keseluruhan,” katanya.

Anwar dalam satu kenyataan di Facebook turut menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa mesti menuntut Israel bertanggungjawab dan segera menghentikan kekejaman ini. “Pemusnahan total terhadap populasi yang terkurung tanpa jalan keluar ini tidak boleh diterima atas alasan mempertahankan diri. Malah, kesukaran dalam rundingan damai juga tidak boleh dijadikan justifikasi bagi hukuman kolektif,” katanya.

Sementara rundingan untuk fasa kedua perjanjian damai sedang terhenti, Israel masih belum mengisytiharkan pembatalan rasmi gencatan senjata, tetapi kenyataan daripada pegawai kanan negara itu menunjukkan bahawa serangan akan diteruskan. Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, turut memberi amaran bahawa ‘pintu neraka’ akan dibuka di Gaza jika baki tahanan yang masih dalam tawanan tidak dibebaskan.

Malaysia terus menggesa tindakan antarabangsa bagi menghentikan serangan ini dan memastikan keadilan ditegakkan untuk rakyat Palestin. Anwar menegaskan bahawa negara akan berdiri teguh dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak akan berhenti menuntut keadilan di pentas global.

#Prezcom