
Kuala Lumpur, 18 Mac 2025
Persatuan Farmasi Muslim Selangor (PERFOMS) menyambut baik pelaksanaan inisiatif Pemaparan Harga Ubat di farmasi komuniti dan kemudahan jagaan kesihatan swasta seperti yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pemaparan Harga Bagi Ubat) 2025. Langkah ini selari dengan matlamat ketelusan harga ubat dan keadilan kepada pengguna, khususnya dalam memastikan masyarakat mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan pada harga yang munasabah.
Sebagai persatuan yang mewakili farmasi komuniti milik Muslim di Selangor, PERFOMS melihat pelaksanaan peraturan ini sebagai satu peluang bagi ahli farmasi Muslim untuk menunjukkan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan farmasi yang beretika, berlandaskan prinsip keadilan dan kejujuran. Dengan pemaparan harga yang jelas, pengguna kini lebih mudah untuk membuat perbandingan dan memilih ubat mengikut keperluan serta kemampuan mereka.
PERFOMS ingin menekankan beberapa aspek penting berkaitan pelaksanaan inisiatif ini:
- Ketelusan Harga – Setiap farmasi komuniti perlu memaparkan harga ubat dengan jelas melalui label harga, tag harga atau senarai harga yang boleh diakses oleh pengguna. Ini bagi memastikan harga yang dicaj adalah tepat dan selari dengan harga yang dipaparkan.
- Kualiti Perkhidmatan Farmasi Komuniti – Dengan ketelusan harga, farmasi komuniti Muslim dapat membina kepercayaan pelanggan dan membuktikan bahawa farmasi yang berasaskan nilai Islam bukan sahaja menawarkan produk berkualiti, tetapi juga memastikan harga yang adil dan berpatutan.
- Pematuhan Undang-Undang – Ahli PERFOMS digalakkan untuk mengemaskini harga ubat secara berkala dan memastikan pematuhan terhadap peraturan pemaparan harga bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.
- Hak Pengguna – Masyarakat Islam disarankan untuk menyedari hak mereka sebagai pengguna, termasuk hak untuk mendapatkan maklumat harga yang jelas dan mengemukakan aduan sekiranya terdapat percanggahan antara harga yang dipaparkan dan harga yang dicaj.
Sehubungan itu, PERFOMS mengajak semua farmasi komuniti milik Muslim untuk bersama-sama mendukung usaha ini demi kepentingan pengguna dan kemajuan industri farmasi di Malaysia. Ahli farmasi Muslim juga diseru untuk menyertai PERFOMS dalam memperkukuh jaringan profesional dan memperjuangkan kepentingan farmasi komuniti Muslim di peringkat negeri dan nasional.
Sebarang penyertaan sebagai ahli PERFOMS boleh dibuat melalui pautan https://bit.ly/4kf9Tr1
#Prezcom