Gambar Hiasan: Nabi amalkan nepotisme dan kronisme” sebagai satu kenyataan yang menghina nabi

KUALA LUMPUR, 18 Mac 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan pertemuan dengan seorang penulis dan usahawan yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dalam satu hantaran di Facebook. Pertemuan itu turut dihadiri oleh wakil dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Pejabat Mufti Selangor bagi menasihati serta memberi peringatan terhadap penyebaran kandungan berkaitan Islam di media sosial.

Menurut kenyataan rasmi JAKIM, individu berkenaan telah dinasihati supaya memadam kenyataan tersebut dan diberi amaran agar lebih berhati-hati dalam mengulas perkara berkaitan agama Islam. “Beliau telah bersetuju untuk memadamkan hantaran, memohon maaf secara terbuka, serta berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan sedemikian di masa hadapan,” ujar JAKIM dalam kenyataannya.

Isu ini tercetus susulan satu hantaran yang dibuat oleh individu berkenaan pada 15 Mac 2025, yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme sebagai pemimpin negara Islam Madinah. Kenyataan tersebut mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohd Naim, serta pertubuhan ilmuwan Islam.

Mufti Pahang menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas dan boleh membawa kepada penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. “Mengaitkan amalan negatif seperti kronisme dan nepotisme dengan Baginda Nabi SAW adalah tindakan yang tidak wajar serta boleh merosakkan akidah jika dilakukan dengan sengaja. Para sahabat yang dilantik sebagai pemimpin selepas kewafatan Baginda bukanlah atas dasar hubungan kekeluargaan semata-mata, tetapi berdasarkan kelayakan dan persetujuan umat Islam ketika itu,” tegas beliau.

Beliau turut memetik firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 57: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat serta menyediakan untuk mereka azab yang pedih.” Justeru, beliau menggesa individu terbabit agar segera bertaubat dan menarik balik kenyataan tersebut.

Selain itu, Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) juga mengeluarkan kenyataan mengecam kenyataan individu berkenaan, menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas terhadap Nabi Muhammad SAW. ISLAMI menegaskan bahawa sejarah Islam perlu difahami melalui perspektif yang sahih dan tidak berdasarkan tafsiran simplistik menurut kerangka pemikiran Barat. Mereka turut menggesa pihak berkuasa, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JAKIM, untuk menyemak kandungan buku-buku terbitan syarikat penerbitan yang diasaskan oleh individu berkenaan bagi memastikan ia selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima 13 laporan terhadap individu berusia 75 tahun tersebut dan sedang menyiasat perkara ini mengikut undang-undang sedia ada.

JAKIM menyeru semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Islam agar tidak menimbulkan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat. “Kami menghargai peranan penerbit dan penulis dalam menyebarkan ilmu, namun sebarang pernyataan berkaitan Islam perlu berlandaskan sumber yang sahih bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang salah,” tambah JAKIM.

Pihak berkuasa terus memantau perkembangan isu ini dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan agama serta menghina kesucian Islam di negara ini.

#Prezcom