Gambar Hiasan: Sindiket Pendaftaran Kelahiran Palsu

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2025 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membongkar satu sindiket yang terlibat dalam pendaftaran kelahiran palsu dengan menahan seorang penjawat awam yang disyaki menerima rasuah antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap sijil kelahiran yang dikeluarkan secara tidak sah.

Individu berkenaan ditahan dalam Operasi Outlander, satu operasi khas yang menyasarkan sindiket pendaftaran kelahiran lewat yang bertujuan untuk mendaftarkan bayi tanpa dokumen pengenalan sebagai warganegara Malaysia.

Menurut sumber SPRM, penjawat awam tersebut dipercayai memainkan peranan utama dalam memproses permohonan pendaftaran kelahiran lewat, khususnya bagi kes yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran. Dalam operasi ini, SPRM turut membekukan 11 akaun bank bernilai RM100,000 dan merampas 30 dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan.

Selain itu, seorang doktor turut ditahan kerana disyaki bertanggungjawab dalam menguruskan dokumentasi berkaitan pengesahan kelahiran. Pada 11 Mac lalu, SPRM telah menahan seramai 16 individu termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata tangkapan ini adalah hasil risikan selama hampir setahun dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai telah memperoleh lebih daripada 80 sijil kelahiran secara tidak sah sejak tahun 2013 hingga 2018, dan kemudian meneruskan operasi mereka dari tahun 2023 hingga 2025.

Sindiket ini bukan sahaja terlibat dalam pemalsuan dokumen kelahiran tetapi juga dipercayai mempunyai jaringan antarabangsa yang dikaitkan dengan pemerdagangan kanak-kanak tanpa dokumen sah dari luar negara.

“Kesalahan ini bukan sekadar isu rasuah dan pemalsuan dokumen tetapi juga berpotensi melibatkan eksploitasi kanak-kanak, termasuk aspek pemerdagangan manusia,” kata Ahmad Khusairi.

SPRM menegaskan bahawa siasatan masih berjalan dan tidak menolak kemungkinan akan ada lebih banyak tangkapan dalam masa terdekat. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini digesa untuk tampil membantu siasatan.

Sumber: BERNAMA

#Prezcom