
IPOH, 16 Mac 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengumumkan bahawa kajian mengenai larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam akan diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha menilai keberkesanan dasar pengawalan jualan arak di Malaysia. Kajian ini melibatkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk peniaga, masyarakat setempat, dan pakar undang-undang bagi memastikan pendekatan yang lebih holistik.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, menjelaskan bahawa kajian ini sedang berjalan dan masih berada dalam fasa pengumpulan maklumat.
“Kami mahu mendapatkan pandangan dari pelbagai sudut, termasuk aspek perundangan, sosial dan ekonomi sebelum sebarang keputusan dibuat. Setakat ini, MBI masih dalam proses perbincangan dengan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Kajian ini selaras dengan langkah kerajaan negeri Perak yang sebelum ini memberikan ‘lampu hijau’ kepada MBI untuk meneruskan penyelidikan mengenai larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti Muslim, seperti yang telah dilaksanakan di Gugusan Manjoi. Cadangan turut dikemukakan untuk memperluaskan larangan ini ke beberapa kawasan lain termasuk Tambun, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.
Isu ini mencetuskan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik dan kumpulan masyarakat. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menegaskan bahawa dasar sedia ada mengenai penjualan alkohol oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus dikekalkan bagi menjaga keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia. Beliau menekankan kepentingan menghormati hak individu yang memilih untuk membeli dan meminum alkohol.
Sementara itu, Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menyatakan pandangan yang berbeza dengan menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menjual minuman keras di kawasan majoriti Muslim kerana ia bukan keperluan utama bagi masyarakat setempat.
Dalam konteks yang lebih luas, isu ini turut mendapat perhatian di peringkat nasional dengan beberapa cadangan agar dasar pengawalan penjualan arak diperluaskan ke negeri lain. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), negara-negara maju telah mula mengambil langkah untuk mengawal pengambilan alkohol bagi mengurangkan kesan buruk terhadap kesihatan rakyat dan kos perubatan yang semakin meningkat.
Beberapa pihak berpendapat bahawa pengurangan akses kepada alkohol di kawasan majoriti Muslim bukanlah satu bentuk sekatan terhadap masyarakat bukan Islam, tetapi lebih kepada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan rakyat dan mengurangkan risiko sosial yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol berlebihan.
Cadangan ini juga menimbulkan perdebatan di Selangor, di mana terdapat cadangan untuk mempertimbangkan polisi yang sama di tiga daerah majoriti Muslim di negeri itu iaitu Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Jika dilaksanakan, ia akan memberi kesan terhadap akses jualan minuman keras di daerah terbabit tetapi masih memastikan hak masyarakat bukan Islam di kawasan lain tidak terjejas.
Buat masa ini, kajian oleh MBI masih berjalan dengan memastikan ia mengambil kira semua sudut termasuk hak peniaga, kesejahteraan masyarakat dan keharmonian antara kaum sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
#Prezcom