Salah Laku di Sapura Energy di Tengah-tengah Suntikan Modal RM1.1 Bilion

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2025.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berkaitan dakwaan rasuah, penyelewengan, dan salah urus kewangan di Sapura Energy Bhd (SEB). Ini berlaku di tengah-tengah keputusan kerajaan untuk menyuntik modal sebanyak RM1.1 bilion ke dalam syarikat tersebut bagi menstabilkan sektor minyak dan gas.

Menurut sumber, siasatan ini bermula daripada siasatan awal yang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada penghujung 2023, yang memberi tumpuan kepada ketidaktelusan kewangan dan kelemahan tadbir urus sejak 2018, ketika SEB masih dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Bhd. Siasatan turut akan meneliti kemungkinan aktiviti pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan transaksi kewangan syarikat tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, SEB baru-baru ini memperoleh pelaburan sebanyak RM1.1 bilion daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH), sebuah syarikat tujuan khas di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan). Pelaburan ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula kewangan SEB setelah syarikat tersebut menghadapi kebimbangan mengenai keupayaan untuk kekal berdaya saing selepas diaudit mengalami tekanan kewangan yang serius pada 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertahankan langkah kerajaan dengan menegaskan bahawa suntikan modal ini adalah satu pelaburan strategik dan bukan satu ‘bailout’ atau penyelamatan kewangan. Beliau menekankan bahawa pembiayaan ini bertujuan untuk mengelakkan kesan domino dalam sektor minyak dan gas, yang boleh menjejaskan ramai vendor dan perniagaan yang bergantung kepada SEB.

“Suntikan modal ini bukan untuk menyelamatkan individu atau pengurusan SEB tetapi untuk membantu vendor serta menstabilkan industri,” kata Anwar. Beliau turut menjelaskan bahawa dana ini disusun sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh SEB apabila keuntungan syarikat pulih. Selain itu, kerajaan menetapkan syarat bahawa pengerusi dan pengurusan tertinggi SEB perlu digantikan sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula syarikat. Kenyataannya ini dimuat naik di Facebook rasmi miliknya semalam dengan satu hantaran video berdurasi 2:32 minit dan juga dalam satu kenyataan media berkenaan suntikan modal oleh kerajaan persekutuan kepada Sapura Energy Berhad.

Namun, pengkritik menuduh Anwar tidak konsisten dalam pendiriannya, dengan merujuk kepada bantahannya terhadap cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2022 untuk menyelamatkan SEB dengan dana kerajaan.

SEB telah menerima beberapa suntikan dana kerajaan sejak 2018, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai tadbir urus korporat, gaji eksekutif, dan penggunaan wang pembayar cukai secara bertanggungjawab. Siasatan SPRM dijangka akan memberi pencerahan mengenai salah urus kewangan yang lalu serta memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi syarikat pada masa hadapan.

Kerajaan kekal teguh dengan pendirian bahawa langkah ini bertujuan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mengelakkan gangguan sistemik dalam sektor tenaga. Sementara siasatan SPRM sedang berlangsung, semua pihak berkepentingan disarankan untuk menunggu hasil siasatan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

#Prezcom