
KULIM, 15 Mac 2025 .
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail hari ini mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kedah bagi menyantuni warga kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta klien yang sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI). Lawatan ini turut disertakan dengan sesi sahur bersama sebagai tanda sokongan kepada mereka yang sedang berusaha untuk pulih dan membina kehidupan baharu.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AADK dalam usaha memperkukuh hubungan antara pengurusan tertinggi dengan pegawai, kakitangan, serta klien AADK. Selain memberikan motivasi kepada klien, lawatan ini juga bertujuan membangkitkan semangat dalam bulan Ramadan serta mewujudkan suasana positif bagi meningkatkan produktiviti dan semangat berpasukan dalam kalangan warga AADK.
Setakat 7 Mac 2025, seramai 5,580 klien sedang mengikuti program RPDI di seluruh negara, terdiri daripada 5,022 klien kategori mandatori dan 558 klien kategori sukarela. PUSPEN Karangan kini menempatkan 77 klien remaja dan menjadi satu-satunya PUSPEN yang memiliki blok sekolah bagi Program Akses Pendidikan Klien (PAPK). Program ini, yang diperkenalkan sejak 2015, membolehkan klien di bawah umur 18 tahun menyambung pelajaran serta menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pencapaian PAPK membanggakan apabila 12 daripada 14 klien lulus dalam SPM 2024, manakala 21 daripada 28 klien berjaya dalam peperiksaan SPM 2023. Kejayaan ini membuktikan keupayaan AADK dalam menyediakan peluang kedua bukan sahaja dalam pemulihan dadah tetapi juga pendidikan, memberi laluan kepada masa depan yang lebih cerah. Berdasarkan kejayaan ini, AADK kini sedang merancang untuk menjadikan Sekolah PUSPEN Karangan sebagai Sekolah Integriti AADK pertama di negara ini, memastikan klien yang layak dapat melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, konsep Sekolah Integriti AADK dijangka dapat menangani isu keciciran pendidikan serta menyediakan tenaga kerja berilmu yang menyumbang kepada kemajuan negara. Langkah ini menegaskan bahawa kegagalan di peringkat sekolah bukanlah pengakhiran, sebaliknya masih wujud ruang untuk membina masa depan lebih baik melalui pendekatan pendidikan yang sistematik dan berstruktur.
Dalam program lawatan ini, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menyertai aktiviti Kejut Sahur RELA MADANI di Kampung Kemunting, Karangan, Kedah. Beliau bersama anggota RELA turun padang untuk membangkitkan suasana sahur di kampung berkenaan selain menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan. Program ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
Lawatan ke PUSPEN Karangan serta program sahur ini menegaskan komitmen kerajaan dalam membantu golongan yang berisiko, bukan sahaja melalui rawatan dan pemulihan tetapi juga dengan memberi peluang pendidikan serta sokongan sosial yang menyeluruh. Inisiatif ini diharapkan dapat membentuk individu yang lebih baik dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta negara.
#Prezcom