Pakar PBB Tuduh Israel Melakukan Tindakan Genosid dan Keganasan Seksual di Gaza

KUALA LUMPUR, 14 Mac 2025

Sekumpulan Pakar Hak Asasi Manusia yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel melakukan tindakan genosid terhadap rakyat Palestin dengan secara sistematik memusnahkan kemudahan kesihatan wanita serta menggunakan keganasan seksual sebagai strategi perang dalam konflik di Gaza.

Dalam laporan yang diterbitkan pada Khamis, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, dan Israel, menyatakan bahawa Israel telah memusnahkan sebahagian besar kapasiti reproduktif rakyat Palestin di Gaza. Tindakan ini termasuk sekatan yang bertujuan menghalang kelahiran, yang dikategorikan sebagai salah satu bentuk genosid berdasarkan Statut Rom dan Konvensyen Genosid.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa sekatan akses kepada perkhidmatan kesihatan menyebabkan peningkatan mendadak dalam kadar kematian ibu mengandung, yang dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dalam bentuk pemusnahan.

Sebagai tambahan, laporan itu turut menuduh pasukan keselamatan Israel menggunakan pendedahan paksa dan serangan seksual sebagai sebahagian daripada prosedur operasi mereka terhadap rakyat Palestin selepas serangan yang dipimpin oleh Hamas di Israel selatan pada Oktober 2023.

Walaubagaimanapun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak laporan tersebut dengan menuduhnya berat sebelah dan bermotifkan antisemitik.

Israel telah menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Februari lalu dan menegaskan bahawa pasukan pertahanan negara itu mempunyai garis panduan ketat yang secara tegas melarang salah laku sedemikian. Misi tetap Israel ke PBB di Geneva menyatakan bahawa dasar serta prosedur semakan mereka adalah selaras dengan piawaian antarabangsa.

Laporan terdahulu oleh Suruhanjaya PBB pada Jun 2024 juga menuduh Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dalam serangan pada 7 Oktober 2023. Pada Mac tahun lalu, pasukan pakar PBB menyatakan terdapat “asas munasabah untuk mempercayai” bahawa keganasan seksual, termasuk rogol, berlaku di beberapa lokasi semasa serangan tersebut.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengarahkan Israel pada Januari 2024 untuk mengambil langkah bagi mengelakkan berlakunya tindakan genosid dalam peperangan di Gaza. Walau bagaimanapun, Israel tidak menandatangani Statut Rom, yang bermakna Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa individu dari Israel atas jenayah genosid atau jenayah terhadap kemanusiaan.

Sementara itu, Afrika Selatan telah membawa kes genosid terhadap Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa susulan tindakan negara itu di Gaza.

#Prezcom