
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2025 – Wanita semakin memainkan peranan penting dalam industri logistik Malaysia, dan SPX Express (SPX) berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan persekitaran kerja yang inklusif. Dengan komitmen terhadap kesaksamaan peluang, SPX memastikan bakat dan dedikasi menjadi faktor utama dalam kejayaan, tanpa mengira jantina.
Ketua SPX Express, Cheah Lee Sun, menegaskan bahawa wanita di SPX membuktikan keupayaan mereka dalam bidang kepimpinan, teknikal, dan operasi. Mereka bukan sahaja mengemudi perubahan tetapi juga mendorong inovasi dalam industri logistik yang semakin berkembang.
Nur Hidayah Tapri: Menerajui Operasi Last-Mile
Nur Hidayah Tapri, 42, memulakan perjalanan dalam industri logistik pada usia 27 tahun, bukan sekadar sebagai pilihan kerjaya tetapi sebagai satu cabaran untuk membuktikan kepimpinan yang berasaskan kemahiran dan pengalaman. Kini sebagai Pengurus Kawasan Last-Mile di Terengganu, beliau bertanggungjawab terhadap lima hab penghantaran, memastikan kelancaran operasi serta membimbing generasi pemimpin wanita baharu di SPX.
“Pada permulaan kerjaya, saya memastikan diri saya menguasai setiap aspek kerja—daripada perancangan laluan hingga pengurusan armada—supaya saya dapat memimpin dengan yakin,” katanya. Dengan dedikasi terhadap pembelajaran berterusan, beliau telah berjaya meningkatkan keberkesanan operasi dan kepuasan pelanggan di wilayahnya.
Hidayah percaya bahawa dengan sokongan dan latihan yang tepat, wanita mampu berkembang dalam peranan kepimpinan. Kini, beliau berusaha untuk membantu lebih ramai wanita mencapai kejayaan yang sama.
Norasmawani Mohd Napiah: Melindungi Keselamatan Tempat Kerja
Sebagai Eksekutif Kanan Kesihatan, Keselamatan, dan Persekitaran (HSE) bagi Pantai Timur, Norasmawani Mohd Napiah, 33, memainkan peranan penting dalam memastikan operasi SPX memenuhi piawaian keselamatan tertinggi.
Bertanggungjawab ke atas 34 premis di Pantai Timur, beliau melaksanakan protokol keselamatan yang ketat bagi mengurangkan risiko tempat kerja. Dengan mengadakan audit berkala dan latihan keselamatan, beliau memastikan semua pekerja memahami langkah-langkah pencegahan kemalangan dan tindak balas kecemasan.
Meskipun sering berdepan dengan tanggapan bahawa keselamatan adalah bidang lelaki, Norasmawani membuktikan bahawa wanita mampu membuat keputusan tegas dan berkesan. “Di SPX, jantina bukan penghalang. Apa yang penting ialah kemahiran, kepakaran, dan dedikasi,” katanya.
Nor Ariesa Ramli: Memecah Stereotaip Sebagai Pemandu Lori
Nor Ariesa Ramli, 43, telah membuktikan bahawa wanita juga boleh cemerlang dalam peranan yang lazimnya didominasi oleh lelaki. Sebagai pemandu lori berpengalaman selama 13 tahun, beliau mencabar norma industri dengan kecekapan dan profesionalisme.
“Ada pelanggan yang terkejut apabila melihat saya di belakang stereng,” katanya sambil tersenyum. “Namun, saya anggap itu sebagai satu pujian kerana ia membuktikan bahawa wanita juga berhak berada dalam bidang ini.”
Beroperasi di SPX Bukit Raja, Ariesa menghargai persekitaran kerja yang menyokong serta berstruktur. Walaupun bekerja dengan agensi rakan kongsi SPX, beliau berbangga kerana syarikat ini menekankan standard tinggi bagi pemandu. “Untuk bekerja dengan SPX, anda perlu memenuhi keperluan ketat. Jadi, berada di sini bermakna saya telah membuktikan kelayakan saya,” katanya.
Beliau juga menggalakkan lebih ramai wanita untuk meneroka peluang dalam industri logistik. “Industri ini menawarkan masa depan yang cerah bagi mereka yang berani melangkah ke hadapan. Percayalah pada diri sendiri dan sentiasa terbuka untuk belajar,” pesannya.
SPX Express: Memacu Keterangkuman Dalam Industri Logistik
Dalam usaha memperkasa wanita seperti Hidayah, Norasmawani, dan Ariesa, SPX Express kekal komited dalam membina tenaga kerja inklusif yang berpaksikan bakat dan dedikasi. Cheah Lee Sun menegaskan bahawa usaha syarikat untuk menggaji, mengekalkan, dan mempromosikan wanita bukan sekadar soal perwakilan, tetapi untuk membangunkan tenaga kerja yang lebih dinamik dan berdaya saing.
“Kami percaya dalam memperkasakan setiap individu di semua peringkat logistik, daripada operasi dan pematuhan hingga penghantaran barisan hadapan,” katanya. Dengan latihan berstruktur, peluang kemajuan kerjaya, dan persekitaran kerja yang menyokong, SPX memastikan setiap pekerja mempunyai akses kepada peluang yang sama rata.
Sejak 2021, SPX telah merekodkan peningkatan penyertaan wanita dalam industri logistik, dengan peratusan kurier wanita meningkat dua kali ganda kepada 29%, manakala pekerja wanita dalam bahagian ‘sorter’ meningkat sebanyak 10%. Selain itu, semakin ramai wanita menyandang peranan kepimpinan seperti ketua hab, penyelia syif, dan pengurus kawasan.

Cheah Lee Sun (tengah) menekankan bahawa komitmen SPX terhadap kepelbagaian bukan sekadar angka, tetapi untuk mencipta impak yang bermakna. “Wanita di SPX cemerlang dalam kepimpinan, teknikal, dan operasi. Dengan keterangkuman sebagai tunjang, kami terus menetapkan penanda aras baharu bagi industri logistik,” katanya.
Dengan mendorong budaya kerja yang menyokong serta progresif, SPX Express terus membuka ruang untuk bakat terbaik berkembang, menetapkan hala tuju baharu bagi masa depan logistik Malaysia.
#Prezcom