AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Daulat Tuanku.

“Selagi kita bergelar Muslim, kita bertanggungjawab mempertahankan kesucian agama ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

JERANTUT, 12 Mac 2025 – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir pihak yang semakin berani memperlekehkan Islam. Baginda menyeru umat Islam agar bersatu mempertahankan kesucian agama dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Baginda bertitah;

“Bagi mereka yang berani menghina Islam, mencabar kesuciannya dan menyemai kebencian terhadap agama Allah haruslah dikenakan tindakan yang setimpal mengikut undang-undang.

“Pihak berkuasa wajib mengambil tindakan yang tegas tetapi adil, memberi pengajaran tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta memastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta,”

Tanggungjawab Bersama Memelihara Agama Islam

Titah baginda disampaikan ketika majlis pemasyhuran nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau, sebagai simbolik kepada peranan umat Islam dalam menjaga kemuliaan agama. Baginda mengingatkan bahawa sikap sopan dan lemah lembut umat Islam tidak boleh disalahertikan sebagai kelemahan sehingga membolehkan Islam diperkecilkan.

“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan. Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini, saya menyeru agar setiap Muslim memainkan peranan dalam mempertahankan kesucian agama dengan kebijaksanaan,” titah baginda.

Islam Sebagai Amanah dan Warisan Suci

Baginda menegaskan bahawa Islam bukan sekadar agama, tetapi juga satu amanah yang mesti dipelihara oleh setiap Muslim tanpa mengira latar belakang, kedudukan, atau pangkat.

“Dalam keadilan pemerintahan, agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai, selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri. Ini bukan sekadar lafaz dalam dokumen perundangan, tetapi satu prinsip yang kita junjung,” titah baginda.

Sebagai kesimpulan, baginda mengingatkan bahawa dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, nilai hormat-menghormati dan kesedaran menjaga sensitiviti keagamaan harus menjadi asas perpaduan.

Sumber: Kesultanan Pahang

#Prezcom