
KUALA LUMPUR, 11 Mac 2025 – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjelaskan bahawa Ahli Parlimen (MP) di Malaysia menerima elaun tetap sebanyak RM25,700 sebulan, selain pelbagai elaun dan tuntutan lain bergantung kepada kelayakan mereka bagi tugas rasmi.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab dakwaan sesetengah pihak, termasuk MP pembangkang, yang mendakwa pendapatan bulanan mereka terlalu rendah sehingga terpaksa berhutang untuk menampung kehidupan.
Menurut PMO, MP layak menuntut pelbagai elaun dan kemudahan, termasuk:
Elaun dan Tuntutan bagi Tugas Rasmi Dalam Negara
- Elaun kehadiran sesi Parlimen: RM400 sehari
- Elaun mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) / Jawatankuasa Pilihan: RM300 sehari (di luar sesi Parlimen)
- Elaun mesyuarat PAC semasa sesi Parlimen: RM250 sehari
- Elaun taklimat rasmi: RM300 sehari
- Elaun sara hidup: RM100 sehari bagi perjalanan rasmi melebihi 32km dari kediaman
- Tuntutan perjalanan: Termasuk pemanduan sendiri, pengangkutan awam atau darat
- Tuntutan penginapan: Hotel, tempat tinggal, dan perkhidmatan dobi
Elaun dan Tuntutan bagi Tugas Rasmi di Luar Negara
- Elaun makan: RM340 sehari
- Elaun sara hidup: RM170 sehari
- Tuntutan penginapan: Hotel dan perkhidmatan dobi
- Tuntutan pengangkutan: Darat dan udara
- Tuntutan kerugian pertukaran mata wang
- Elaun tip: 25% daripada elaun makan
Apabila digabungkan, jumlah pendapatan seorang MP boleh mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PMO turut menasihatkan semua MP supaya menguruskan kewangan dengan berhemah dan mengutamakan kepentingan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang lebih memerlukan bantuan.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur MP pembangkang yang mendakwa mengalami beban kewangan dan hutang, walaupun memperoleh pendapatan yang tinggi. Beliau juga menegaskan bahawa peruntukan bagi semua kawasan Parlimen, termasuk yang dipegang oleh pembangkang, tetap disalurkan terus kepada rakyat dan projek, tanpa melalui MP secara langsung.
#Prezcom