
Pahang, 7/3/2025
Daulat Tuanku!
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tawaran ‘Bantuan Ramadan’ yang kini tular di aplikasi TikTok menggunakan nama YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Akaun palsu yang beroperasi di bawah nama @tpafzanaminahafidzatul di aplikasi tersebut mendakwa bahawa bantuan Ramadan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada orang awam oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Satu hantaran oleh admin di Facebook Kesultanan Pahang pada 6 Mac 2025 mengesahkan keterangan ini. Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk berwaspada dan tidak mudah mempercayai akaun-akaun palsu, terutamanya yang menyediakan pautan mencurigakan yang berpotensi membawa kepada aktiviti penipuan dalam talian (scammer).
Pihak Istana Pahang telah menegaskan bahawa akaun TikTok yang menggunakan nama YAM Tengku Puteri Raja Tengku Afzan tidak wujud dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati. Sebarang maklumat rasmi berkaitan Kesultanan Pahang hanya boleh disahkan melalui portal dan akaun rasmi Kesultanan Pahang serta Istana Pahang.
Kredit Gambar: Facebook Kesultanan Pahang
#Prezcom